Daripada D. Arul Rajoo
BRUSSELS, 20 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) di Bangunan Europa di sini pada Isnin.
Setibanya di institusi Majlis Eropah dan Majlis Kesatuan Eropah, Anwar, yang dalam lawatan kerja dua hari ke Belgium, bertemu dengan Kaja Kallas, Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan/Naib Presiden Suruhanjaya Eropah (HR/VP).
Ia disusuli pertemuan dengan Presiden Majlis Eropah Antonio Costa dan kedua-dua pemimpin membincangkan kaedah untuk mengeratkan hubungan Malaysia–EU dan kerjasama serantau.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Anwar mengambil peluang melalui lawatan kerja ini untuk mengetengahkan keutamaan Malaysia dalam hala tuju Kepengerusian Malaysia yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Antara perkara dibincangkan semasa pertemuan itu ialah meningkatkan perdagangan dan pelaburan, langkah untuk menyambung kembali rundingan FTA, gencatan senjata di Palestin dan perang Ukraine–Rusia.
Dalam detik bersejarah hubungan Malaysia–EU, Anwar dan Presiden EU Ursula von der Leyen pada Isnin, mengumumkan penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA).
Pengumuman itu dibuat beberapa jam sebelum pertemuan Perdana Menteri dengan pemimpin EU di Brussels, yang merupakan pusat pentadbiran EU.
Rundingan bagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) itu dilancarkan pada 2010, namun ditangguhkan pada 2012 susulan keraguan Malaysia terhadap dasar perolehan minyak sawit, subsidi dan klausa kemampanan EU.
Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Turut hadir Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak.
Pada 2023, EU merupakan rakan dagangan keempat terbesar Malaysia, dengan perdagangan mencecah RM206.79 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan dengan EU meningkat 5.2 peratus kepada RM200 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Setakat 2023, pelaburan EU di Malaysia menjana lebih 153,000 pekerjaan melalui 1,323 projek bernilai RM227.9 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial