WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Tiba Di Davos Untuk Hadiri Mesyuarat Tahunan WEF 2025

21/01/2025 04:44 AM

Daripada Anas Abu Hassan

DAVOS (Switzerland), 20 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pada Isnin untuk lawatan kerja selama tiga hari menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, akan menyertai kalangan pemimpin kerajaan dan perniagaan serta pegawai masyarakat sivil di bandar peranginan Pergunungan Alps ini untuk membincangkan usaha mengatasi cabaran utama dunia dan serantau melalui kerjasama global yang lebih baik.

Pesawat membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich pada pukul 6.25 petang (Selasa, 1.25 pagi waktu Malaysia).

Ketibaan beliau di lapangan terbang disambut oleh Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva Datuk Nadzirah Osman, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Syahril Syazli Ghazali dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia Bern, Ahmad Benyamine Noor Rahimin.

Anwar kemudiannya melalui perjalanan darat ke Davos-Klosters, kira-kira 175 kilometer dari lapangan terbang Zurich dan tiba di sini pada pukul 9 malam (Selasa, 4 pagi waktu Malaysia).

Perdana Menteri yang baru sahaja menamatkan lawatan kerja selama dua hari ke Belgium akan berada di sini untuk mesyuarat WEF dari 20 hingga 24 Jan, 2025, bersama kira-kira 3,000 peserta termasuk 60 ketua negara dan pembuat keputusan penting yang dijangka hadir.

Sepanjang lawatan, Anwar akan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Pada hari pertama beliau di Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025, Perdana Menteri akan menyertai beberapa mesyuarat perniagaan dengan pemimpin syarikat multinasional meliputi daripada Astrazeneca, DP World, Medtronics, Nestle, Google Fortescue dan Total Energies.

Beliau kemudian dijadual menyertai ‘Dialog Strategi Negara’ dikendalikan oleh Tengku Zafrul yang dihadiri oleh pemimpin perniagaan daripada syarikat global untuk berkongsi keutamaan dan inisiatif strategik Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan, serta meneroka peluang kerjasama untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi negara serta menghadiri mesyuarat “ASEAN Leaders for Just Energy Transition”.

Anwar juga akan mengadakan taklimat media bertajuk “Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness”, menumpukan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan peluang transformasi ekonomi digital.

Beliau juga akan menghadiri majlis makan malam pembukaan Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025 yang dihoskan oleh Pengasas WEF dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Klaus Schwab.

Pada hari terakhir lawatan, Perdana Menteri akan menerima kunjungan hormat daripada Schwab sebelum menyertai sesi bertajuk “A Conversation with Anwar Ibrahim” dan seterusnya mesyuarat perniagaan dengan TotalEnergies serta pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan beliau dari Libya, Abdul Hamid Dbeibah.

Anwar juga dijadual menyertai majlis makan tengah hari santai bagi kalangan pemimpin WEF dan kemudian menyampaikan ucap tama pada sesi Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together”.

Pada sesi pleno ASEAN itu beliau akan berkongsi keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ serta peranan penting ASEAN di peringkat rantau dalam membentuk landskap ekonomi global.

Beliau akan mengakhiri lawatan kerja ke WEF 2025 dengan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Netherlands, Dick Schoof, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, sekali gus menandakan berakhirnya lawatan kerja beliau ke empat negara.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Belgium.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan