WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AMRO: Ekonomi ASEAN+3 Kekal Positif, Dijangka Tumbuh 4.2 Peratus Pada 2025

21/01/2025 11:45 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Ekonomi ASEAN+3 yang terdiri daripada 10 anggota ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan dijangka terus berkembang dengan kukuh pada 2025 meskipun berdepan risiko luaran, kata Ketua Ahli Ekonomi Pejabat Penyelidik Makroekonomi ASEAN+3 Khor Hoe Ee.

Beliau berkata risiko luaran itu termasuk kemungkinan peningkatan tarif dan keadaan kewangan global yang semakin getir akibat perubahan dasar di Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, prospek pertumbuhan rantau ini kekal positif, dengan unjuran melebihi empat peratus, disokong oleh penggunaan domestik yang teguh, sektor pekerjaan yang menggalakkan dan inflasi yang rendah, katanya.

“Eksport, khususnya dalam sektor teknologi, di samping pemulihan sektor pelancongan dan industri semikonduktor, meningkatkan lagi pengembangan ekonomi.

“Ini meletakkan Ekonomi ASEAN+3 berada pada kedudukan yang baik dalam menghadapai ketidaktentuan global, hasil daripada fleksibiliti fiskal yang mencukupi dan rangka kerja kerjasama serantau yang kukuh seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan Chiang Mai Initiative Multilateralisation,” katanya kepada Bernama.

AMRO mengunjurkan rantau ASEAN+3 akan berkembang pada 4.2 peratus pada 2025, menurut kemas kini suku tahunan terbarunya bagi Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (Areo).

Pertumbuhan itu berkurangan sedikit di bawah jangkaan 4.4 peratus oleh Areo pada Oktober 2024.

Beliau berkata, meskipun berdepan dengan cabaran global, pendekatan pragmatik rantau ini terhadap kemakmuran bersama dan komitmennya terhadap integrasi di bawah Visi Komuniti ASEAN 2045 memperkukuh daya tahan terhadap kejutan luar.

"Ketegangan geopolitik juga telah mengukuhkan peranan strategik ASEAN+3 dalam penyusunan semula rantaian bekalan global, apabila syarikat-syarikat kini mempelbagaikan asas pengeluaran mereka, dengan ekonomi-ekonomi ASEAN muncul sebagai destinasi pelaburan menarik disebabkan oleh infrastruktur yang kukuh, kestabilan politik, dan pasaran domestik yang semakin berkembang," katanya.

Walaupun peningkatan semula inflasi di AS dan kadar faedah yang lebih tinggi boleh menyebabkan aliran keluar modal dan kemerosotan mata wang di rantau ini, Khor menegaskan bahawa ekonomi-ekonomi ASEAN+3 lebih bersedia untuk bertindak balas dengan pantas dan fleksibel sekiranya risiko-risiko tersebut menjadi kenyataan.

"Ini memberikan ruang dasar yang mencukupi untuk melaksanakan langkah-langkah penstabilan ekonomi sekiranya diperlukan.

"Ketahanan ini berpunca daripada pengajaran yang dipelajari sepanjang pandemik COVID-19, apabila rantau ini berjaya melaksanakan reformasi struktur dan transformasi digital secara efektif bagi mengukuhkan ketahanan ekonomi mereka," katanya.

Khor juga menekankan pentingnya kerjasama serantau yang berterusan untuk menghadapi cabaran yang semakin berkembang, sambil menambah bahawa inisiatif yang mempromosikan ketahanan rantaian bekalan dan kewangan mampan akan memastikan kelestarian ekonomi jangka panjang.

"Rantau ASEAN+3, dengan kelas menengah yang semakin berkembang dan kemampuan pembuatan yang kompetitif, kekal penting dalam perdagangan global, serta bersedia untuk menyesuaikan diri dengan dinamik ekonomi yang berubah sambil memacu pertumbuhan yang mampan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan