WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malabar Gold & Diamonds Buka Cawangan Kelapan Di Mydin Mall Seremban 2

21/01/2025 09:26 PM

SEREMBAN, 21 Jan (Bernama) -- Peruncit barang kemas keenam terbesar dunia Malabar Gold & Diamonds melancarkan bilik pameran baharu di Mydin Mall Seremban 2 di sini, yang merupakan cawangan kelapan di Malaysia. 

Pengarah Urusan Operasi Antarabangsa Malabar Gold & Diamonds Shamlal Ahamed berkata cawangan baharu itu mengukuhkan komitmen mereka untuk menarik lebih ramai pelanggan serta kedudukan sebagai peruncit barang kemas pilihan di negara ini. 

"Cawangan ini menawarkan koleksi barang kemas daripada emas, berlian dan batu permata yang direka khas mengikut cita rasa dan keutamaan pencinta barang kemas, dengan barangan emas diikat dengan emas 916, iaitu 22K.

"Malabar Gold & Diamonds dikenali pada peringkat global kerana pendekatan mesra pelanggan dan dasar yang telus dengan setiap pembelian barang kemas kami disokong 'Malabar Promise', iaitu jaminan kepada pelanggan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Pelancaran bilik pameran itu dirasmikan Pengarah Urusan MYDIN Datuk Dr Ameer Ali Mydin dan turut dihadiri Ketua Cawangan Malabar Gold & Diamonds Nijeesh Parayil.

Shamlal berkata jaminan itu merupakan komitmen untuk memastikan kualiti dan perkhidmatan tiada tandingan termasuk nilai penuh untuk pertukaran emas dan berlian, berlian diperakui pada peringkat antarabangsa serta diperoleh secara bertanggungjawab, tanda harga yang telus dan nilai terbaik bagi pembelian semula.

Bilik pameran terbaharu di Mydin Mall, menurut Shamlal direka menggunakan pendekatan cawangan di Ampang Point, Selangor yang menawarkan koleksi barang kemas serta perkhidmatan yang disesuaikan bagi memenuhi keperluan komuniti di situ. 

"Sejak memulakan operasi pada 2015, kami telah menjadi antara jenama barang kemas digemari di negara ini dan menarik minat pencinta barang kemas daripada pelbagai lapisan masyarakat. Penambahan cawangan ini merupakan pencapaian kepada perjalanan kami di negara ini," katanya. 

Malabar Gold & Diamonds juga memiliki cawangan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur; Pulau Pinang; Selangor; Negeri Sembilan dan Perak selain penambahan pembukaan bilik pameran baharu kini dirancang di Kuala Lumpur, Johor dan Selangor. 

Malabar Gold & Diamonds ditubuhkan pada 1993 dan merupakan syarikat utama konglomerat perniagaan India yang terkemuka dalam pelbagai bidang, Malabar Group. Syarikat itu mempunyai rangkaian runcit kukuh melebihi 375 bilik pameran di 13 negara. 

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan