WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ops Sky: Lima Lagi Pegawai Bank Disyaki Terima Rasuah Direman

21/01/2025 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima lagi individu kerana disyaki menerima rasuah sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan permohonan pinjaman peribadi yang dikemukakan sebuah syarikat perunding kewangan.

Menurut sumber, mereka yang ditahan melibatkan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun yang juga pegawai institusi perbankan.

Perintah reman selama lima hari sehingga 25 Jan ini dikeluarkan terhadap dua lelaki dan dua wanita, manakala seorang lagi suspek lelaki direman sehingga Khamis ini (23 Jan).

“Kesemua perintah reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi,” katanya.

Kelima-lima suspek ini ditahan antara pukul 3 hingga 7 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai institusi perbankan yang telah membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.

“Pegawai-pegawai ini dipercayai menerima rasuah daripada syarikat berkenaan yang bertindak menyediakan dokumen dipercayai mengandungi maklumat palsu pelanggan yang ingin membuat pinjaman peribadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap lima lagi suspek berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata 16 individu yang sebelum ini ditahan reman telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan