WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sarawak Perlukan Tenaga Kerja Berkemahiran Tinggi Dan Inovatif - Abang Johari

22/01/2025 08:41 PM

KUCHING, 22 Jan (Bernama) -- Sarawak memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan inovatif untuk memacu ekonomi ke hadapan dan mengatasi perangkap berpendapatan sederhana.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata untuk mencapai matlamat itu, negeri berkenaan akan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran.

“Kita (Sarawak) tidak mahu terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana, kita mesti bergerak ke hadapan. Bagi mencapai tujuan itu, kita memerlukan kemahiran dan alat (teknologi) yang sesuai untuk maju… Kita juga mesti bersifat inovatif.

“Tenaga kerja mesti memiliki kemahiran yang mendapat permintaan tinggi dan menawarkan gaji yang lumayan. Oleh itu, Sarawak akan melaksanakan program untuk melatih tenaga kerja kita selaras dengan trend semasa, terutamanya dalam bidang teknikal, sains dan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa pelancaran Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak - Program Kesediaan Bekerja (GETS-WRP) di sini hari ini.

GETS-WRP ialah program latihan sambil bekerja selama 12 bulan yang bertujuan membantu graduan, terutama dari Sarawak memperoleh kemahiran praktikal dalam pelbagai industri.

Program itu direka untuk melengkapkan graduan Sarawak dengan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman kerja yang relevan bagi memastikan peralihan yang berjaya ke alam pekerjaan.

Dengan peruntukan bajet sebanyak RM23 juta untuk 1,000 pelatih dan graduan pada tahun 2025, program itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan belia dan kesediaan tenaga kerja, serta mempersiapkan graduan untuk peluang pekerjaan tempatan dan global.

Pelatih akan menerima elaun bulanan sebanyak RM1,500 semasa program berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan