WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN Serbu Premis Perniagaan Simpan LPG Lebih Had

23/01/2025 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyita 205 tong gas petroleum cecair (LPG) dalam  serbuan di sebuah premis perniagaan di Taman Sri Rampai, di sini Selasa lepas.

KPDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemeriksaan yang dilakukan mendapati premis itu memiliki 2,700 kilogram lebihan had simpanan LPG berbanding yang dibenarkan di dalam lesen.

“Berikutan itu, 85 tong LPG berkapasiti 12 kilogram (kg) dan 120 tong berisi LPG 14 kg yang dianggarkan bernilai RM23,930 disita oleh pasukan penguat kuasa KPDN dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” menurut kenyataan itu.

KPDN Kuala Lumpur memaklumkan semakan mendapati pemegang lesen runcit itu pernah mempunyai beberapa rekod kesalahan lain di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 2018.

“Sehubungan itu, penelitian terperinci akan dibuat ke atas semua rekod kesalahan pemegang lesen runcit barang kawalan terbabit,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan tindakan yang dilakukan itu adalah di bawah operasi bersepadu agensi penguatkuasaan dengan serbuan hasil maklumat dan serahan kes daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan