TUARAN, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sabah komited untuk meningkatkan kualiti bekalan elektrik di seluruh negeri dengan mengukuhkan kerjasama strategik bersama kerajaan Persekutuan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata inisiatif itu sejajar dengan peranan pengawalan seliaan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) yang digariskan dalam Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), bertujuan memastikan bekalan elektrik lebih stabil dan mampan.
"Walaupun kuasa kawal selia bekalan elektrik kini di bawah kerajaan negeri, bekerja sama erat dengan kerajaan Persekutuan tetap menjadi keutamaan untuk memastikan rakyat Sabah menikmati perkhidmatan elektrik yang berkualiti," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Program Sabah Electricity bersama Komuniti dan Rumah Terbuka Krismas 2024 serta Tahun Baharu 2025 di Dewan Seri Sulaman di sini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai, dan Pengerusi Sabah Electricity Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Sementara itu, Hajiji menjelaskan bahawa langkah pengecualian surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) untuk tempoh Januari hingga Jun 2025 adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam meringankan beban rakyat.
"Peruntukan subsidi bernilai RM50.9 juta ini memberi manfaat kepada pengguna domestik yang layak dan pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah, termasuk sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)," katanya.
Beliau berkata cabaran bekalan elektrik di Sabah bukan sahaja melibatkan isu kapasiti penjanaan tetapi juga peningkatan permintaan berikutan kepesatan pembangunan ekonomi.
"Kerajaan negeri memberi tumpuan untuk mencapai jidar simpanan kapasiti penjanaan sebanyak 30 peratus melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka pendek," tambahnya.
Dalam usaha ini, ECoS akan terus bekerja sama rapat dengan Sabah Electricity bagi melaksanakan pelan transformasi yang komprehensif untuk menambah baik sistem bekalan elektrik di seluruh Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial