WILAYAH - SABAH > BERITA

Bencana Banjir Di Tiga Daerah Sabah Pulih Dan Diisytiharkan Tamat

01/02/2025 03:05 PM

KOTA KINABALU, 1 Feb (Bernama) -- Kota Marudu, Kota Belud dan Telupid diisytiharkan pulih daripada banjir hari ini dan semua penduduk yang terjejas di ketiga-tiga daerah itu telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Pengisytiharan itu dibuat Pegawai Daerah Kota Marudu Meirin Sugara pada 10 pagi, Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton pada 12 tengah hari dan Pegawai Daerah Telupid Celestine Jetony pada 1 tengah hari. Kesemua mereka juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah masing-masing.

Menurut kenyataan dikeluarkan, penutupan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuat berdasarkan maklumat daripada agensi yang membuat tinjauan di lokasi terjejas banjir dan keadaan cuaca yang baik serta paras air yang telah pulih sepenuhnya.

“Semua PPS telah ditutup dan kediaman penduduk selamat untuk didiami,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Komander Operasi Bencana juga diarahkan untuk menyelaras kekuatan anggota, aset dan logistik di PPS bagi operasi penghantaran pulang mangsa banjir ke rumah masing-masing selain agensi yang terlibat di lapangan diminta menilai jika terdapat keperluan untuk aktiviti pascabencana bersepadu dilaksanakan.

Sehingga 8 pagi tadi, Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi di Sabah iaitu 2,944 orang daripada 1,095 keluarga, Kota Belud 207 mangsa (67 keluarga) dan Telupid 288 mangsa (75 keluarga).

Seramai 5,216 orang daripada 1,820 keluarga dipindahkan setakat pagi tadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan