KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) --Situasi banjir di Sabah menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) turun mendadak pada petang ini manakala di Sarawak merekodkan peningkatan jumlah mangsa.
Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan dengan penutupan 19 PPS di daerah Kota Marudu, Kota Belud, Telupid dan Tongod yang diisytiharkan pulih, jumlah mangsa kini adalah seramai 1,702 orang setakat 4 petang ini, berbanding 5,216 orang pada pagi tadi.
Kesemua mereka berlindung di 14 PPS di lima daerah dengan Pitas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 806 mangsa diikuti Lahad Datu (514), Paitan (215), Beaufort (110) dan Beluran dengan 57 mangsa.
Kota Marudu diisytiharkan pulih daripada bencana banjir pada pukul 10 pagi tadi diikuti oleh Kota Belud pada pukul 12 tengah hari, Telupid pada pukul 1 tengah hari dan Tongod pada pukul 2 petang.
Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir merekodkan peningkatan kepada 12,656 orang setakat 4 petang ini berbanding 12,486 orang pada pagi tadi.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, daerah Bintulu kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 5,712 orang diikuti oleh Serian (2,576) serta Samarahan dengan 1,920 mangsa.
Daerah lain yang terjejas adalah Sibu dengan 1,163 orang, Miri (1,031), Kuching (238) manakala Mukah pula merekodkan seramai 16 mangsa daripada lapan keluarga.
Sementara itu, Sekretariat tersebut memaklumkan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua Batu Kawa di Kuching dan Balai Raya Ensebang Padang Bilon di Balai Ringin, Serian, yang dijadikan PPS telah ditutup petang ini susulan keadaan banjir yang pulih.
Sekretariat juga memaklumkan bahawa tiga PPS baharu iaitu Kem Beliah Mukah dan Dewan Kampung Bawang, Matu, di Mukah serta Dewan Masyarakat Beluru, Miri, dibuka petang ini, menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi di negeri itu sebanyak 63 PPS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial