WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Herry Perlu Masa Tingkatkan Prestasi Khai Xing-Aaron

02/02/2025 09:57 AM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu lelaki negara baharu, Herry Iman Pierngadi memerlukan masa untuk meningkatkan prestasi juara beregu lelaki Kejohanan Badminton Remaja Dunia (WJC) 2024, Kang Khai Xing-Aaron Tai.

Berdasarkan penilaian awalnya, Herry atau lebih dikenali ‘Herry IP’ menyifatkan pasangan muda negara itu memiliki kualiti permainan yang agak bagus ketika ini biarpun terkandas pada pusingan kedua Masters Thailand 2025, baru-baru ini.

“Kita tengok mereka masih muda dan progresnya cukup baik namun kita juga harus lihat apa yang akan terjadi pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas memulakan tugas secara rasmi di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini semalam.

Khamis lepas, hasrat Khai Xing-Aaron melangkah lebih jauh pada kejohanan bertaraf Super 300 di Stadium Nimibutr, Bangkok, tidak kesampaian selepas kecundang di tangan pilihan kedua dari Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin, 21-19, 16-21, 14-21.

Jurulatih berpengalaman dari Indonesia itu juga tidak dapat meramalkan nasib gandingan ke-58 dunia berkenaan dan mengakui hanya masa akan menentukan sama ada mereka kekal digandingkan atau sebaliknya.

Disember lepas, gandingan berbakat itu menamatkan kemarau 13 tahun negara tanpa sebarang kejuaraan bagi kategori beregu lelaki pada WJC di Nanchang, China, dengan menumbangkan pasangan tuan rumah Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 21-18, 15-21, 21-18.

Kali terakhir Malaysia meraih gelaran dunia bagi beregu lelaki pada WJC menerusi Nelson Heg Wei Keat-Teo Ee Yi pada edisi 2011.

Herry yang ditawarkan kontrak empat tahun oleh BAM merupakan jurulatih berprofil tinggi dan telah berjaya membuktikan sentuhan 'magisnya'  dengan membentuk gandingan bertaraf dunia dari Indonesia.

Antara pencapaian hebat figura diberi gelaran ‘Naga Api’ itu termasuk melahirkan juara Sukan Olimpik, Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).

Ini kali pertama jurulatih berusia 62 tahun itu melangkah ke luar negara setelah 31 tahun mengabadikan diri membimbing skuad badminton Indonesia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan