WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS

03/02/2025 09:54 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif and Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan Indeks Dolar AS (DXY) yang meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengeluarkan perintah eksekutif untuk menaikkan tarif import, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit merosot kepada 4.4785/4970 berbanding dolar AS daripada 4.4550/4600 pada Jumaat lepas.  

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY mendapat momentum kepada 109.258 mata selepas Trump mengeluarkan perintah eksekutif untuk menaikkan tarif import kepada 25 peratus untuk import dari Kanada dan Mexico serta 10 peratus untuk import dari China.

“Langkah ini akan berkuat kuasa pada Selasa. Ini menandakan bermulanya perang perdagangan apabila negara-negara yang terjejas mula melaksanakan tindakan balas mereka,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Mohd Afzanizam berkata ini akan membawa kepada langkah menghindari risiko berikutan ia mewujudkan ketidakpastian yang lebih besar mengenai impaknya terhadap inflasi AS dan tindak balas Rizab Persekutuan (Fed) AS.

Katanya Fed berkemungkinan akan lebih berhati-hati kerana trajektori inflasi yang dijangka kekal tinggi.

Oleh itu, katanya ringgit mungkin stabil pada paras semasa tetapi risiko penurunan kekal ketara berikutan perang perdagangan.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama dan mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.5878/6067 daripada 4.6247/6299 pada Jumaat lepas dan naik berbanding pound kepada 5.5041/5268 daripada 5.5336/5398. Bagaimanapun, mata wang tempatan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8819/8942 daripada 2.8798/8832.

Mata wang tempatan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.2726/2868 daripada 3.2854/2896 pada Jumaat lepas dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1535/2187 daripada 13.2274/2498 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 274.6/275.9 daripada 273.2/273.6 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.71 daripada 7.63/7.64.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan