KafeBasikalTua bukan sebarang kafe. Di kelilingi kehijauan taman, kafe bersebelahan bangunan dua tingkat yang dahulunya pejabat dan studio pereka bentuk landskap Raja Iskandar Raja Mansur, melalui proses transformasi dipacu oleh rasa empati lelaki itu kepada golongan kurang upaya, terutama yang buta.
Mengambil masa beberapa tahun untuk siap, kafe di Sungai Penchala, Selangor ini beroperasi dengan bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk Raja Iskandar sendiri yang mengalami kehilangan upaya akibat strok.
“Saya alami strok yang melumpuhkan saya pada Disember 2014. Sebagai terapi fizikal dan mental, saya lakukan kerja-kerja menghias serta memperindah kafe ini dengan hasrat menjadikannya bukan sahaja mesra OKU tetapi juga menyumbang kepada ekonomi mereka.
“Idea ini tercetus daripada persahabatan saya dengan OKU, terutamanya juruterapi cacat penglihatan yang mengurut saya semasa peringkat pemulihan serta kesukaran saya sendiri menyedarkan saya tentang kepayahan yang dihadapi oleh OKU dalam menjalani kehidupan sehari-hari,” katanya kepada Bernama.
Menurut usahawan berusia 58 tahun ini, dalam tempoh itu beliau mengubah landskap kawasan tersebut menjadi sebuah taman yang dapat menyejukkan mata dan menenangkan jiwa bagi yang ingin lari daripada kesibukan kota.
NASI GANJA
Satu daripada ciri yang menyerlahkan keunikan KafeBasikalTua ini ialah komitmen pengusahanya kepada komuniti OKU.
“Kafe ini dibuka kira-kira tiga tahun lalu dan semua yang terlibat dalam operasi - mereka bukan pekerja tetapi ahli pasukan saya - merupakan keluarga OKU dan juga ibu tunggal. Mereka masak, sediakan servis dan sebagainya,” jelas beliau lagi.
pic-2
Oleh sebab itu jugalah sebaik-baiknya orang ramai membuat tempahan beberapa hari lebih awal bagi membolehkan mereka melakukan persiapan, kerana kesemua hidangan itu disediakan oleh keluarga OKU di kediaman masing-masing.
“Kena tempah awal kerana kami OKU, jadi perlukan masa dalam penyediaan.
“Hidangan kami termasuk pelbagai jenis nasi seperti nasi kerabu, nasi dagang, nasi kukus serta kuih-muih. Antara yang paling dicari pelanggan ialah nasi ganja, iaitu sejenis nasi seakan-akan nasi kandar,” ujarnya, menambah kafe dibuka untuk makan tengah hari dan hi-tea setiap hari, kecuali Jumaat.
Selain itu, semua makanan juga dihidangkan dalam mangkuk tingkat yang diperbuat daripada aloi.
“Kenapa guna tiffin (mangkuk tingkat)? Ini tanda pengenalan kami, ala-ala berkelah selain kaedah ini lebih bersih. Lebih-lebih lagi makanan ini kita ambil dari rumah ‘keluarga’ OKU kita, bukan disediakan di sini. Kita juga tidak gunakan (bekas) plastik kerana kami anjurkan konsep mesra alam sekitar,” katanya.
Selain itu, kafe ini menawarkan kek yang diperbuat daripada buah-buahan untuk majlis-majlis tertentu seperti hari jadi, hasil kerja tangan OKU.
PAPAR MEMORI
Melangkah masuk ke dalam kafe ini mata pastinya tertumpu pada hiasan dalaman yang klasik. Pelbagai barangan lama milik Raja Iskandar digemblengkan sebagai hiasan, antaranya mangkuk tingkat berusia lebih 100 tahun milik neneknya.
Turut dipamerkan telefon lama, buku serta mesin jahit klasik.
pic-3
“Setiap barang yang dipamerkan ada cerita masing-masing. Kafe ini merupakan gabungan perca-perca memori saya semasa membesar, sejarah keluarga saya. Setiap inci kafe ada kaitan dengan saya,” katanya.
Malah katanya, bahan binaan kafe itu juga berasal daripada rumah-rumah lama seperti pagar utama yang diperbuat daripada pintu sebuah rumah kerajaan lama di Seremban, sementara tingkap-tingkap pula datang daripada sebuah rumah lama di Pulau Pinang.
“Bagi saya, tempat ini bukan sekadar kafe tetapi satu bukti tentang kuasa daya tahan, baik seorang individu ataupun masyarakat. Kafe ini simbol, bagaimana menerusi kreativiti, walaupun ketika berdepan situasi paling mencabar, kita boleh bingkas dan menghasilkan sesuatu yang indah dan bermakna,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, kafe ini juga menjadi wahana OKU menjual kraf yang dihasilkan mereka seperti kain alas kaki dan sebagainya.
Di luar kafe pula, rimbunan pepohon termasuk pokok bunga hiasan dan palma memenuhi ruang laman, menawarkan ketenangan kepada pengunjung sambil menikmati hidangan, sekali gus mendekatkan mereka dengan alam semula jadi.
BUKAN KEJAR KEUNTUNGAN
Jika kebanyakan usahawan memperoleh kepuasan apabila mencatat keuntungan besar, bagi Raja Iskandar, ganjaran sebenar datang daripada kejayaannya memberi manfaat kepada orang lain.
“Ukuran sebenar sesebuah kejayaan ialah saya dapat mengubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik. Bagi saya itu ganjaran sebenar, bukan keuntungan dari segi kewangan,” katanya.
pic-4
Mereka yang menerima manfaat daripada usahanya termasuk Mohamad Azman yang berperanan sebagai pembantu logistik dan juga pembantu jurubeli barang. Sebagai individu dengan masalah pembelajaran, lelaki ini menghabiskan masa lima tahun untuk mendapatkan pekerjaan namun sia-sia.
“Melalui kerjasama dengan kafe ini, dia sekarang ada kerja dan sumber pendapatan. Selain itu, dia juga berasa dihargai kerana diberikan tanggungjawab yang dapat memupuk rasa bangga dalam dirinya,” kata Raja Iskandar.
Pakar pastri Puan Noraisah Ismail, 62, pula individu lembam yang memainkan peranan penting di dapur, menyediakan pelbagai jenis biskut dan kudap-kudapan untuk pelanggan. Wanita ini juga terlibat dalam penghasilan kraf yang dijual di kafe itu.
Yang lain termasuk Puan Zarina Kamal yang menguruskan dapur serta mempunyai ahli keluarga OKU; Puan Kamariah Yusof yang menyelia penglibatan ibu tunggal serta Puan Rosminah Kamsi dan Puan Zuhairah Ali.
Menyifatkan mereka semua sebagai sebuah keluarga besar, Raja Iskandar berkata beliau hanya “konduktor” yang memimpin sebuah “orkestra” istimewa.
Ditanya tentang asal usul nama KafeBasikalTua pula, beliau berkata idea untuk menamakan kafe itu sedemikian muncul selepas beliau melihat penggunaan basikal yang meluas semasa penularan COVID-19.
“Masa itu saya tengok ramai naik basikal, mungkin untuk beriadah ataupun ke satu-satu tempat. Dari situ terlintas nak gunakan nama basikal tua,” ujarnya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial