WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN Periksa 6,007 Premis Perniagaan Sepanjang Pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina

05/02/2025 10:44 AM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Sebanyak 6,007 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 dari 25 Jan hingga 2 Feb lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata pemeriksaan itu merangkumi 108 premis borong dan 5,899 premis runcit.

“Sepanjang tempoh kuat kuasa skim, 483 tindakan kes telah diambil terhadap peniaga yang ingkar, melibatkan sitaan bernilai RM21,942.85 iaitu kesalahan gagal meletakkan tanda harga dan gagal menggunakan tanda harga merah jambu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata tiada sebarang kes membabitkan kesalahan menjual melebihi harga maksimum dikesan dan KPDN juga tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan skim berkenaan.

“Majoriti peniaga yang diperiksa komited dan mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan skim itu,” katanya.

 SHMMP itu dilaksanakan selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan, dengan 16 jenis barangan dikawal di bawah skim berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan