WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kementerian Komunikasi Buat Penjajaran Semula Fungsi, Visi J-KOM

06/02/2025 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melaksanakan penjajaran semula fungsi serta visi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan penekanan komunikasi inklusif dan efektif dengan strategi yang menghargai kepelbagaian masyarakat.

Kementerian itu memaklumkan perubahan turut meliputi menggunakan pelbagai medium sebaran untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat, selain sebagai usaha memastikan jabatan itu mampu memenuhi keperluan semasa dan cabaran masa depan.

Menurut kementerian itu, selaras dengan usaha memperkukuh keberkesanan komunikasi strategik dan pengurusan naratif dalam menyampaikan dasar, program dan inisiatif kerajaan kepada rakyat, Ketua Pengarah J-KOM yang baharu telah dilantik berkuat kuasa 15 Jan.

“Antara fungsi baharu jabatan ialah memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan ke peringkat komuniti, selain fungsi J-KOM juga diperkemas bagi memperkukuh hubungan antara kaum melalui program dan aktiviti jabatan itu.

“Ini penting untuk memastikan kestabilan sosial serta mengurangkan konflik yang mungkin timbul akibat perbezaan pandangan,” menurut Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis di portal Parlimen, hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan yang dikemukakan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung status pelantikan Ketua Pengarah J-KOM baharu, susulan mantan Ketua Pengarah J-KOM yang ditamatkan perkhidmatan sejak Sept 2024 selepas hanya enam bulan memegang jawatan, serta sejauh manakah rombakan fungsi terhadap organisasi berkenaan.

Pada 15 Jan, Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Datuk Ismail Yusop dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM yang baharu bagi menggantikan Dr Mohd Khairuddin Othman yang ditamatkan perkhidmatan pada September 2024 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan