WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Diplomasi Malaysia-india Berupaya Redakan Halangan Tarif Asean

06/02/2025 10:00 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 6 Feb (Bernama) -- India boleh memanfaatkan Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN secara signifikan untuk mengatasi halangan perdagangan dan sekatan bukan tarif bagi meningkatkan akses pengeksportnya ke pasaran ASEAN, terutamanya bagi produk automotif dan pertanian.

Sebagai pemain utama di Asia Tenggara dan tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini, Malaysia menyediakan platform yang lebih kukuh bagi India untuk memperluas hubungan perdagangannya dalam blok dinamik itu, menurut pemerhati.

ASEAN dengan saiz pasaran terdiri daripada 670 juta pengguna dan kepentingan strategiknya, bersama India, ekonomi kelima terbesar dunia boleh mewujudkan satu sinergi perdagangan yang kukuh.

Laporan media India menonjolkan usaha pembuat dasar di New Delhi untuk menyelesaikan isu sekatan bukan tarif, duti import, peraturan asal usul barangan serta prosedur kastam dan memudah cara perdagangan yang menghalang pengembangan eksport India ke pasaran ASEAN.

Felo di Observer Research Foundation yang berpangkalan di Delhi, Soumya Bhowmick berkata New Delhi optimis terhadap Kepengerusian Malaysia kerana ia memberi peluang untuk menyusun semula dan mengukuhkan hubungan India-ASEAN.

“Pembuat dasar melihat ini sebagai peluang untuk mempercepatkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India (AIFTA) serta menangani kebimbangan berpanjangan seperti defisit perdagangan dan sekatan bukan tarif.

Fokus juga dijangka merangkumi penyelarasan keutamaan strategik yang lebih besar dalam aspek keselamatan maritim, pembangunan mampan dan peningkatan kesalinghubungan serantau.

Kesediaan India untuk berunding dengan Malaysia mencerminkan kepentingan bersama dalam mengimbangi dinamik ekonomi serantau sambil melindungi industri domestik menerusi semakan struktur tarif dan mekanisme pemudahan  perdagangan yang dipertingkatkan,” katanya kepada Bernama menerusi temu bual e-mel dari Delhi.

India telah menjadi rakan dialog ASEAN sejak 1992 dan hubungan itu dinaik taraf kepada tahap perkongsian strategik pada 2012.

Penglibatan India dengan ASEAN berlandaskan tiga teras utama iaitu meningkatkan kesalinghubungan  India-ASEAN, memperkukuh organisasi ASEAN dan memperluas kerjasama maritim.

 Perdagangan dua hala antara kedua-dua pihak mencapai RM452 bilion (US$101.9 bilion) pada 2023.

“Sekatan bukan tarif kekal sebagai cabaran utama bagi pengeksport India ke ASEAN walaupun terdapat pengurangan tarif di bawah perjanjian seperti AIFTA. Ketidakseimbangan peraturan, standard keselamatan makanan yang ketat serta prosedur kastam yang kompleks menjadi halangan utama kepada eksport produk pertanian dan barangan pembuatan.

“Rundingan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) baru-baru ini, termasuk perbincangan mengenai pemudahan prosedur kastam dan semakan senarai sensitif, bertujuan menangani isu-isu ini.

“Fokus India terhadap pengharmoniaan peraturan asal usul barangan serta usaha menangani sekatan bukan tarif menerusi perjanjian bersama menunjukkan keperluan kritikal bagi amalan perdagangan yang lebih telus dan boleh diramalkan untuk membuka potensi penuh perkongsian dengan ASEAN,” katanya.

Menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-India, tahun-tahun mendatang dijangka menumpukan usaha menangani ketidakseimbangan perdagangan menerusi semakan AIFTA serta Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif.

“Semakan ini bertujuan memperluas akses pengeksport India ke pasaran ASEAN, khususnya dalam sektor automotif dan pertanian, sambil memastikan timbal balas dalam manfaat perdagangan.

“Skim Insentif Berkaitan Pengeluaran (PLI) dan usaha memperkukuh pembuatan domestik sejajar dengan inisiatif ‘Atmanirbhar Bharat’ India, membolehkan negara itu menggabungkan kerjasama serantau dengan dasar berdikari,” katanya.

Selain itu, inisiatif seperti Tahun Pelancongan ASEAN-India 2025 serta kemajuan dalam kesalinghubungan digital dijangka memperdalam hubungan sesama rakyat, meningkatkan kestabilan serantau dan mengukuhkan hubungan ekonomi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan