WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Zayn Rayyan Budak Baik, Tidak Mudah Tantrum - Saksi

07/02/2025 10:05 PM

PETALING JAYA, 7 Feb (Bernama) -- Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin merupakan seorang budak yang baik dan tidak mudah tantrum semasa dia menguruskan kanak-kanak autistik itu di sekolah pada Mac hingga Dis 2023.

Nasimah Abu Bakar, 33, seorang pembantu pengurus murid di sekolah Zayn Rayyan berkata kanak-kanak itu juga tidak banyak kerenah selain mudah menurut arahan yang diberikan dan tidak banyak membuat masalah.

"Zayn seorang yang pasif dan bukan jenis hiperaktif (hyper), tidak tantrum sangat dan dia budak yang baik," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Aqharie Durranie Aziz pada hari kelima perbicaraan kes pengabaian dihadapi ibu bapa kanak-kanak itu, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf.

Menceritakan kejadian kehilangan Zayn Rayyan pada 5 Dis 2023, Nasimah berkata beliau mengetahui maklumat kehilangan kanak-kanak autistik itu menerusi kumpulan WhatsApp kelas Zayn Rayyan antara pukul 4 hingga 4.30 petang.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata selepas menerima maklumat kehilangan Zayn Rayyan, beliau telah menghubungi ibu Zayn Rayyan (Ismanira) pada 5 petang (5 Dis 2023) untuk mendapatkan kepastian mengenai perkara itu.

Nasimah berkata selepas mendapat maklumat mengenai kehilangan Zayn Rayyan, beliau menghantar laporan kepada penolong kanan hal ehwal murid (HEM) sekolah bagi tindakan lanjut.

Disoal Aqharie Durranie apa yang dimaklumkan ibu Zayn Rayyan (Ismanira), Nasimah menjawab, “Ismanira cakap ‘Ya betul, Zayn hilang’. Ibu Zayn Rayyan juga turut memberitahu anaknya itu telah lari berdesup dan kemudiannya hilang”.

Nasimah berkata pada keesokannya (6 Dis 2023) beliau menghubungi ibu Zayn Rayyan sekali lagi dan bertanya kepadanya sama ada anaknya itu pernah lari sebelum ini dan Ismanira memaklumkan bahawa kanak-kanak itu pernah hilang di Taman Metropolitan, Kepong.

Kepada soalan Aqharie Durranie mengenai lampin pakai buang Zayn Rayyan yang dipakai pada 5 Dis 2023, sama ada Nasimah ada menukar lampin pakai buang itu, dia menjawab “Tidak, kerana tiada berkeperluan untuk menukar lampin yang tidak kotor dan penuh.”

Aqharie Durranie: Jadi dia (Zayn Rayyan) pulang (ke rumah) memakai ‘pampers’ yang sama? Dan Nasimah berkata “Ya, betul.”

Perbicaraan bersambung 17 Feb ini.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan