WILAYAH - TIMUR > BERITA

Lebih 500 Pelajar Di Padang Rengas Terima Sumbangan Kembali Ke Sekolah

09/02/2025 06:58 PM

PADANG RENGAS, 9 Feb (Bernama) -- Lebih 500 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah B40 di sekitar kawasan Parlimen Padang Rengas menerima bantuan persekolahan menerusi program majlis Sumbangan Kasih MADANI Kembali Ke Sekolah 2025 hari ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata program bantuan barangan kelengkapan sekolah dan wang tunai itu melibatkan 31 sekolah rendah serta menengah terpilih di kawasan tersebut.

Menurut Muhammad Kamil, inisiatif dari Pejabat Setiausaha Politik Kementerian Kewangan itu adalah dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat (YBR), Yayasan MyPrihatin, Farm Fresh dan Persatuan Pergerakan Amal Belia (PPAB) Padang Rengas.

"Bantuan sumbangan persekolahan diharapkan dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing.

"Sumbangan ini juga diharapkan dapat membantu mempertingkatkan minat mereka untuk hadir ke sekolah serta sebagai pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memperoleh keputusan cemerlang," katanya pada sidang media sempena majlis itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Beluru, dekat sini.

Muhammad Kamil berkata setiap pelajar yang menerima wang tunai bernilai RM100 setiap seorang, beg sekolah dan set kelengkapan alat tulis termasuk susu daripada Farm Fresh. 

Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada YBR, Yayasan MyPrihatin, Farm Fresh dan PPAB atas kerjasama itu, malah ia merupakan satu contoh tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang murni kepada masyarakat. 

"Walaupun dilihat kecil, namun ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga B40 yang telah menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 (iaitu) RM150 pada Januari lepas," katanya. 

Beliau berkata tindakan inisiatif itu membuktikan kerajaan berikhtiar bersungguh-sungguh membantu meringankan beban keluarga di Padang Rengas secara khusus dan di Malaysia amnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan