WILAYAH - SARAWAK > BERITA

17 April Ditetapkan Untuk Dengar Permohonan PKR Rayu Kes Bayaran Bon Zuraida

13/02/2025 05:51 PM

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menetapkan 17 April ini untuk mendengar permohonan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan bayaran bon bekas naib presiden parti itu Datuk Zuraida Kamaruddin daripada RM10 juta kepada RM100,000 kerana melanggar syarat bon parti terbabit.

Peguam PKR Navpreet Singh yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Husna Dzulkifly menetapkan tarikh berkenaan pada sesi pengurusan kes, Isnin lepas.

Beliau berkata semua pihak terlibat diarahkan mengemukakan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 2 April dan satu lagi sesi pengurusan kes akan diadakan pada 7 April untuk mengemas kini pematuhan kepada arahan mahkamah.

PKR telah memfailkan rayuan pada 8 Jan lepas untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kerana melanggar syarat bon.

Pada 11 Dis tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk See Mee Chun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Zuraida telah melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti, namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada hanya RM100,000.

Pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Zuraida yang juga bekas Ahli Parlimen Ampang membayar RM10 juta selepas memihak kepada PKR dalam saman yang dikemukakan terhadapnya.

Hakim Datuk Akhtar Tahir mendapati bon terbabit ialah kontrak yang sah dan mengikat.

Pada 2020, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail memfailkan saman bagi pihak parti dengan mendakwa Zuraida melanggar bon yang telah ditandatanganinya.

 Antara terma dan syarat bon itu, Zuraida dikehendaki membayar RM10 juta dalam tempoh tujuh hari sekiranya berlaku beberapa kejadian selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR termasuk jika beliau meletak jawatan dalam parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti untuk menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan