KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Dua bekas perdana menteri mencadangkan usul khas dibentangkan di Dewan Rakyat bagi membincangkan isu Palestin susulan pengumuman mengejut Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk memindahkan penduduk Palestin keluar dari tanah air mereka dan mengambil alih Semenanjung Gaza.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat berkata dunia harus mengecam cadangan itu yang disifatkan beliau sebagai tidak berperikemanusiaan dan tidak harus dibenarkan untuk direalisasikan.
“Justeru, seluruh negara Islam dan dunia perlu bersatu, isu Palestin bukan isu agama tetapi isu kemanusiaan. Saya menyeru supaya Malaysia mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan sidang tergempar untuk membincangkan isu ini meskipun terdapat negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku kerana cadangan ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan global tetapi mengancam kestabilan geopolitik antarabangsa,” katanya.
Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) menyifatkan langkah itu sebagai satu bentuk pembersihan etnik yang melanggar undang-undang antarabangsa dan mencabul hak asasi manusia.
Sebagai pengerusi ASEAN dan anggota pengasas OIC, beliau berkata Malaysia perlu mengusulkan resolusi di Perhimpunan Agung PBB untuk mengadakan pasukan tentera pengaman bagi membolehkan proses kepulangan rakyat Palestin tidak diganggu-gugat pihak yang mahu merampas hak mereka.
"Saya bersetuju dan menyokong cadangan supaya usul ini dibentangkan di Dewan ini dan dibahaskan oleh semua ahli-ahli yang berhormat," katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) berkata usaha kerajaan untuk membangunkan semula Gaza menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai nilai manusiawi yang tinggi.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata pihaknya telah memutuskan untuk mewujudkan Tabung Pembangunan Gaza yang akan digerakkan di seluruh negeri itu bagi memastikan rakyat Negeri Sembilan menyumbang ke arah usaha tersebut.
Persidangan bersambung Isnin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial