KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Sistem Pengesanan Murid Kementerian Pendidikan Malaysia (SiPKPM) yang diperkukuh dengan kecerdasan buatan (AI) dapat mengurangkan isu keciciran pelajar dan ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa akan datang.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme) KPM Dr Mohd Azam Ahmad berkata sistem berkenaan sebelum ini telah pun digunakan dan berjaya mengurangkan isu ketidakhadiran calon SPM daripada puluhan ribu kepada angka terkini iaitu lebih 8,000 calon.
“Sistem ini bantu kesan murid cicir atau yang berpotensi tercicir yang boleh dikesan sejak sekolah rendah hingga menengah.
“Pada pertengahan tahun lepas kita telah bangunkan sistem ini yang diperkukuh dengan AI dan telah pun dilaksanakan, ia akan bantu guru-guru kita dan pemimpin sekolah di sekolah untuk mengesan murid-murid cicir dan yang berpotensi cicir untuk kita buat intervensi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Bual Bicara Pendidikan Asas Kenegaraan: Membina Generasi Mampan Masa Hadapan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata sistem yang diperkukuh ini kelak dapat membantu mempercepat pihak sekolah dalam memberikan intervensi awal serta lebih berfokus.
“KPM sebenarnya ada 18 bantuan yang kita ada untuk bantu murid-murid yang berpotensi cicir antaranya disebabkan masalah kewangan dan masalah lain, KPM bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan lihat apakah bentuk intervensi yang tepat untuk murid-murid dalam kumpulan ini,” katanya.
Semalam, KPM dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen memaklumkan seramai 8,076 calon peperiksaan SPM Tahun 2024 dilaporkan tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis setakat 6 Feb lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial