KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pembukaan operasi perluasan jajaran lorong bas di Jalan Ampang di sini sepanjang satu kilometer (km) bermula hari ini dapat menjimatkan masa perjalanan hingga 30 minit dari Hab Pandan Indah ke Pusat Bandar.
Ketua Pembangunan dan Infrastruktur Bas Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) Zainurul Hakim berkata perluasan lorong bas yang mendapat kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor itu menjadikan keseluruhan laluan lorong bas antara dua destinasi tersebut kini sepanjang 4 km.
“Semasa fasa pertama (3 Julai 2023), lorong bas sepanjang 3 km memberi penjimatan masa sekitar 18 hingga 20 minit dari Hab Pandan Indah hingga Pusat Bandar yang sebelum ini memakan masa 67 minit kepada kepada 47 minit.
“Kita jangkakan perluasan sepanjang 1 km ini dapat menjimatkan 10 minit lagi menjadikan perjalanan hanya 37 minit, dalam masa sama kekerapan bas akan lebih lancar dengan jajaran lorong bas keseluruhan sepanjang 4 km,” katanya ketika sidang media mengenai perluasan jajaran tersebut.
Beliau berkata tempoh percubaan perluasan jajaran tersebut melibatkan Seksyen A iaitu susur masuk ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) hingga Persimpangan Jalan Mamanda 1, dan bersambung dengan lorong bas Jalan Ampang yang sedia ada.
Seksyen B pula dari hentian bas Bandar Baru Ampang/ Persimpangan Jalan Wawasan Ampang hingga susur keluar Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
“Sejak pelaksanaan fasa pertama menunjukkan peningkatan jumlah penumpang, sebelum ini dalam 12,800 dan telah meningkat kepada 14,500 kalau berdasarkan yang terkini,” katanya yang menjangkakan dengan perluasan jajaran itu jumlah penumpang akan meningkat kepada 20,000.
Zainurul berkata Rapid Bus dan JKR akan menjalankan penilaian selama tiga bulan melibatkan beberapa aspek seperti masa perjalanan dan kesesakan lalu lintas di seksyen itu.
Beliau berkata dua laluan utama perkhidmatan bas yang mendapat manfaat daripada inisiatif itu ialah laluan 300 (Hab Pandan Indah-Lebuh Ampang) dan laluan 303 (Hentian Mulia Jaya-Lebuh Ampang) serta beberapa laluan bas perantara dari sekitar Pandan Indah, Bukit Indah, Mulia Jaya dan Lembah Jaya.
“Kita meletakkan 33 bas untuk laluan 300 dari Hab Pandan Indah ke Pusat Bandar dan laluan 303 dari Mulia Jaya ke Pusat Bandar. Laluan 300 ini laluan yang paling tinggi ridership dengan kekerapan tiga minit,” katanya.
Operasi lorong bas bermula dari 6 pagi hingga 9 pagi, Isnin hingga Jumaat sahaja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial