KOTA BHARU, 17 Feb (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dan merampas 16.17 kilogram (kg) dadah jenis ganja dianggarkan bernilai lebih RM50,000, di pangkalan haram Hassan Merah dekat Rantau Panjang, Pasir Mas semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan pada kira-kira 7 pagi, dilakukan pasukan anggota Batalion 8 PGA yang melihat lelaki itu membawa tiga bungkusan dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika hendak ditahan lelaki itu bertindak melarikan diri dan melepaskan bungkusan daripada tangannya, namun berjaya ditahan walaupun berlaku sedikit pergelutan.
“Pemeriksaan terhadap tiga bungkusan itu menemukan 34 kotak pelbagai saiz mengandungi dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan berkata saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Suspek dipercayai memperoleh bekalan dadah dari negara jiran dan akan menghantar bekalan itu ke sebuah kenderaan berdekatan pangkalan haram tersebut.
Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial