KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Pertumbuhan pesat e-dagang telah mengubah landskap industri kurier negara dengan jumlah bungkusan meningkat kepada lebih 899 juta setakat suku ketiga 2024 berbanding 52 juta pada 2015.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata industri kurier juga telah menyediakan lebih 150,000 peluang pekerjaan sebagai tenaga kerja industri, dengan 80 peratus daripada penghantar bungkusan terdiri daripada golongan B40.
“Persaingan yang sihat dan penawaran harga yang kompetitif antara syarikat kurier memberikan kuasa memilih kepada pengguna di Malaysia.
“Kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa mengutamakan kepentingan pengguna dari pelbagai sudut termasuk memantau kadar harga perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu justifikasi kenaikan harga minimum penghantaran barang kurier melalui Garis Panduan Harga Rujukan bagi perkhidmatan kurier, sedangkan jumlah penjualan dalam talian semakin meningkat saban tahun.
Teo berkata Garis Panduan Harga Rujukan bagi perkhidmatan kurier yang diperkenalkan oleh MCMC pada 2022 adalah untuk mengimbangi penyampaian perkhidmatan kurier yang berkualiti kepada pengguna dan persaingan yang sihat oleh industri termasuklah penawaran harga perkhidmatan yang tidak predatori.
Beliau berkata garis panduan itu merupakan panduan harga yang boleh dikenakan oleh pemegang lesen kepada pelanggan mereka, namun ia bukanlah harga minimum yang mandatori.
“Garis Panduan Harga Rujukan adalah kaedah kawal selia kendiri industri dengan penetapan kadar harga perkhidmatan kurier masih terpulang kepada pihak industri berdasarkan kos yang efisien, selari dengan Seksyen 36 Akta Perkhidmatan Pos 2012,” katanya.
Selain itu, Teo berkata di bawah peruntukan Seksyen 36 Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741), kadar bayaran pos yang ditentukan oleh pemegang lesen hendaklah berasaskan kepada prinsip antaranya kadar secara munasabahnya adil dan tidak berdiskriminasi serta kadar berorientasikan kos.
Pada masa sama, ia juga mestilah tidak mengandungi diskaun secara tidak munasabah yang memudaratkan peluang persaingan pemegang lesen lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial