KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Tiada mana-mana negara boleh menentukan dasar Malaysia -- sama ada berkaitan perdagangan, pelaburan, atau hubungan luar -- kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata Malaysia ialah sebuah negara merdeka dan akan memutuskan yang terbaik demi kepentingannya.
“Selagi penglibatan ekonomi kami dengan negara lain membawa kesan limpahan positif dan memberi manfaat kepada rakyat kami, kami akan terus melakukannya,” katanya semasa sesi perbincangan Panel Perdagangan - “Reimagining Trade and Global Supply Chains for a Resilient Future” pada Persidangan China: Asia Tenggara 2025 di sini, Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya Pengarang Urusan, Kandungan South China Morning Post, Yonden Lhatoo sama ada Malaysia akan terus menyokong hubungan dengan Hong Kong, memandangkan pendedahannya kepada ketegangan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
“Ketika kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, kami sentiasa berpegang kepada pendirian kami sebagai negara yang neutral dan tidak memihak.
“Malaysia kekal komited menghormati semua komitmen perdagangan dan ekonomi dengan Hong Kong. Selagi Hong Kong terus menyediakan platform untuk Malaysia bekerjasama, terutama dalam perdagangan dan pelaburan, kami akan terus mengekalkan hubungan kami yang kukuh,” katanya.
Tengku Zafrul berkata begitu juga ASEAN, sebagai satu blok, teguh dalam mengekalkan kebebasannya.
“Kami telah mengharungi ketegangan geopolitik pada masa lepas -- melalui Perang Dingin, pentadbiran pertama Donald Trump, malah dasar-dasar yang diteruskan oleh bekas Presiden AS Joe Biden, yang sebahagiannya lebih ketat. Kami sentiasa menentukan hala tuju kami sendiri,” katanya.
Beliau berkata Malaysia kekal terbuka kepada perdagangan global.
“Kami aktif dalam menjalinkan kerjasama ekonomi di pelbagai rantau, termasuk merundingkan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah, mengukuhkan hubungan dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan meneruskan perbincangan mengenai potensi keanggotaan Malaysia dalam BRICS.
“Pendekatan kami adalah mengekalkan kepusatan ASEAN dan meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, memastikan daya tahan ekonomi dalam keadaan tekanan luaran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial