WILAYAH - SARAWAK > BERITA

30 Usahawan PKNS Teroka Pasaran Jepun Di Ekspo Dunia Osaka 2025

18/02/2025 12:50 PM

SHAH ALAM, 18 Feb (Bernama) -- Seramai 30 usahawan di bawah bimbingan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berpeluang menembusi pasaran Jepun melalui penyertaan di Ekspo Dunia Osaka 2025, yang dijadual bermula pada 13 April hingga 13 Okt depan.

Inisiatif itu merupakan langkah strategik diambil PKNS hasil daripada suntikan dana sebanyak RM2 juta oleh SME Corp Malaysia bagi melaksanakan Program Pecutan Eksport (Export Acceleration Program - EAP) dalam usaha memperkasakan usahawan eksport ke pasaran global. 

PKNS dalam kenyataan memaklumkan majlis pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) antara PKNS yang diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) Suhaimi Haji Kasdon dengan SME Corp yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Rizal Nainy telah diadakan pada majlis pelancaran SME Ventures 2025 di sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini.

Program EAP akan memberi tumpuan kepada persediaan usahawan, pensijilan, percubaan pasaran, kebolehpasaran produk serta sesi padanan perniagaan dengan pembekal, peruncitan dan HORECA di Jepun di mana peserta akan menjalani modul khusus bagi memastikan produk mereka menembusi pasaran di negara berkenaan.

Kerjasama itu juga selari dengan aspirasi PKNS dalam memperkasa keupayaan usahawan tempatan supaya lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa. 

Melalui inisiatif itu PKNS boleh memanfaatkan sumber yang ada untuk membimbing usahawan menembusi sektor peruncitan, khususnya di pasaran Jepun serta negara-negara lain, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka di peringkat antarabangsa.

PKNS berkata dengan penyertaan di Ekspo Dunia Osaka 2025, usahawan terlibat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang perniagaan seperti makanan, minuman, kosmetik, kesihatan, penjagaan diri, fesyen, bahan mentah, ternakan, teknologi hijau, baja dan sebagainya berpeluang mengetengahkan produk serta perkhidmatan mereka di pentas global.

Semua peserta akan disalurkan ke platform yang tepat, termasuk pembekalan bahan mentah kepada kilang di Jepun, sektor peruncitan, e-dagang, pemasaran melalui influencer dan Key Opinion Leader (KOL), program afiliasi serta rangkaian pembekal. 

“Langkah ini bukan sahaja memperluaskan peluang pasaran, tetapi juga membuka potensi pelaburan dan kerjasama perniagaan yang lebih strategik serta berimpak tinggi,” menurut kenyataan itu.

Pemilihan Jepun sebagai fokus utama program itu didorong oleh kedudukannya sebagai satu daripada negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang membuka pelbagai peluang dalam perdagangan antarabangsa.

Selain itu PKNS berkata akses ke pasaran Jepun juga membuka peluang untuk Malaysia memperkukuh sektor perkhidmatan, menarik pelaburan dan memperkasakan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

“Dengan ekonomi dinamik serta permintaan tinggi, Jepun menjadi platform strategik bagi usahawan tempatan bersaing di peringkat global,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan