WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mesir Anjur Sidang Kemuncak Tergempar Arab Pada 4 Mac Bincang Pembinaan Semula Gaza

18/02/2025 10:18 PM

KAHERAH, 18 Feb (Bernama-Anadolu) -- Mesir pada Selasa mengesahkan bahawa ia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Tergempar Arab pada 4 Mac bagi membincangkan pelan pemulihan Semenanjung Gaza tanpa memindahkan penduduk Palestin, lapor Anadolu Ajansı (AA).

Sidang kemuncak itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 27 Feb tetapi ditangguhkan ke 4 Mac “bagi melengkapkan persiapan logistik,” menurut Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan.

Kementerian itu menyatakan tarikh baharu ditetapkan dengan kerjasama Bahrain, selaku pengerusi semasa Liga Arab, dan selepas rundingan dengan negara-negara Arab.

Sidang kemuncak ini diadakan susulan cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS)  Donald Trump, untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduk Palestin di wilayah lain, dengan menyatakan hasrat membangunkannya sebagai “Riviera Timur Tengah.”

Pada Ahad, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengesahkan bahawa negaranya sedang merangka pelan pemulihan Gaza secara menyeluruh tanpa memindahkan rakyat Palestin.

Cadangan Trump untuk memindahkan rakyat Palestin itu ditolak oleh dunia Arab serta banyak negara lain, yang menyifatkannya sebagai satu bentuk pembersihan etnik.

Idea kontroversi itu muncul di tengah-tengah gencatan senjata yang berkuat kuasa di Gaza sejak 19 Jan, yang menghentikan serangan Israel yang telah mengorbankan hampir 48,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan wilayah itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan