WILAYAH - TENGAH > BERITA

SMC Cipta Empat Rekod Dalam MBOR Untuk Pembedahan Robotik

19/02/2025 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway (SMC) berbesar hati mengumumkan kejayaan melakar empat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) untuk pembedahan robotik sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju inovasi perubatan dan penjagaan pesakit di negara ini.

SMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan hospital itu telah diiktiraf oleh MBOR sebagai hospital pertama yang melakukan pembedahan penggantian pinggul keseluruhan dengan bantuan robotik serta paling banyak menjalankan pembedahan penggantian pinggul dan lutut dengan bantuan robotik.

Selain itu, pakar perunding daripada SMC turut mencatat dua lagi rekod dalam MBOR bagi kategori korporat iaitu pakar bedah pertama yang melakukan pembedahan penggantian pinggul keseluruhan dengan bantuan robotik dan juga paling banyak menjalankan pembedahan penggantian pinggul dan lutut dengan bantuan robotik.

“Pencapaian yang membanggakan itu menggariskan komitmen hospital untuk mengekalkan kepimpinannya dalam pembedahan robotik dan penjagaan pesakit yang komprehensif.

"SMC melalui Pusat Pembedahan Robotik dan Pembedahan Minimal Invasif (MIS) miliknya telah menjalankan lebih 3,000 pembedahan dengan bantuan robot secara kolektif sehingga kini sekali gus menunjukkan keupayaan dan kepakaran SMC dalam pembedahan robotik,” menurut kenyataan itu. 

Seiring perubahan Malaysia yang kini menjadi negara semakin menua,  nisbah individu berumur 65 tahun ke atas diunjurkan meningkat dua kali ganda menjelang 2044, menurut laporan Bank Dunia A Silver Lining.

Peralihan demografi ini secara tidak langsung meningkatkan cabaran kesihatan berkaitan usia, termasuk isu mobiliti dan kemerosotan sendi.

Pembedahan dengan bantuan robotik telah menetapkan penanda aras baharu dalam penggantian pinggul dan lutut, setiap prosedur disesuaikan dengan anatomi unik pesakit bagi memastikan hasil lebih tahan lama dan lebih semula jadi dengan komplikasi lebih sedikit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata SMC sentiasa teruja untuk menyambut kemajuan teknologi terkini bagi meningkatkan pengubatan pesakit.

“Teknologi robotik khususnya, telah merevolusikan cara pembedahan dilakukan, dan ia merupakan satu keistimewaan untuk kami berada di barisan hadapan dalam transformasi ini.

“Ia telah memberi nafas baharu kepada pembedahan di seluruh dunia dengan menawarkan ketepatan, kelajuan dan kesan invasif minimum sekali gus membuatkan tempoh pemulihan menjadi lebih singkat dan memberi hasil lebih baik kepada pesakit,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan