KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang ahli perniagaan selepas dipercayai membunuh isterinya di sebuah rumah di kawasan Bandar Sungai Long, dekat sini pada 5.32 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada anak lelaki pasangan itu berusia 35 tahun, yang memaklumkan bapanya berusia 65 tahun cuba membunuh diri dengan mengelar tangan dengan pisau selepas dipercayai membunuh ibunya.
Beliau berkata pihaknya telah ke lokasi kejadian bersama pasukan forensik polis bagi menjalankan siasatan dan mendapati mangsa warga tempatan berusia 63 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidur dan disahkan meninggal dunia.
“Senjata pisau yang digunakan dalam kejadian ini telah dirampas bersama beberapa barang kes lain bagi membantu siasatan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan dipercayai suspek mengalami tekanan perasaan akibat perniagaan yang dijalankan selama 25 tahun mengalami masalah kewangan dan penyakit yang dialami oleh isterinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata buat masa ini, penyakit mangsa belum dikenal pasti kerana masih menunggu laporan penuh perubatan dan difahamkan pasangan ini telah berkahwin 36 tahun serta memiliki sepasang anak.
“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat pada 4.30 petang hari ini dan punca kematian adalah suffocation.
“Suspek dibenarkan reman selama seminggu sehingga 27 Feb ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes ASP R. K. Umesh di talian 012-611 4900.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan ahli keluarga atau individu terdekat yang mempunyai masalah tekanan perasaan atau masalah dalam perkahwinan.
“Khidmat nasihat dan kaunseling boleh didapati melalui Talian Kasih 15999 atau mana-mana kaunselor bertauliah sekiranya diperlukan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial