LABUAN, 20 Feb (Bernama) -- Seorang lagi kanak-kanak maut dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Lazenda Villa 2, Kerupang di sini pada tengah malam tadi.
Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim berkata Shayven Keinth Chong Shahmioon, 12, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Labuan pada 10 pagi tadi.
"Keluarga mangsa memaklumkan kepada polis pada 5 petang bahawa seorang lagi kanak-kanak yang mengalami kecederaan meninggal dunia, menjadikan jumlah kematian akibat kebakaran itu kepada empat orang," katanya kepada Bernama.
Terdahulu, seorang warga emas dikenali sebagai Morris Chong Hoon Cheung, 65, ditemukan maut di dapur, serta dua beradik Shahwin Kind Chong Shahmioon, 11, dan Shayviann Kyrona Ruby Chong Shahmioon, 8, yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di tempat kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan Abdul Rahman Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.27 tengah malam dan mengerahkan tiga jentera dan satu unit EMRS ke lokasi.
Beliau berkata terdapat sembilan penghuni di dalam rumah terbabit dan mangsa yang terselamat ialah seorang lagi warga emas berusia 61 tahun, dua dewasa berumur 32 dan 35 tahun serta bayi 12 bulan.
Abdul Rahman berkata anggota bomba juga berjaya membawa keluar empat kanak-kanak yang tidak sedarkan diri, namun dua daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian, seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital manakala seorang kanak-kanak berusia 13 tahun cedera dan sedang dirawat di hospital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial