WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Persatuan Pandu Puteri Lahirkan Pemimpin Bermoral Tinggi - Tunku Azizah

23/02/2025 05:39 PM

KUANTAN, 23 Feb (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan keyakinan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) sebagai satu platform terbaik yang tidak sekadar mencorakkan gadis muda dengan kebolehan memimpin, tetapi juga menitikberatkan nilai murni, sekali gus melengkapkan mereka berhadapan cabaran masa depan.

Baginda yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang bertitah pengadaptasian sahsiah nilai murni amat penting dalam diri setiap individu dan kerana itu, ia tidak boleh dipandang mudah kerana nilai tersebut bakal melengkapkan kriteria sebagai seorang pemimpin. 

“Di dalam persatuan Pandu Puteri, kita mengajar semuanya untuk bermoral tinggi. Kita bukan sahaja mengajar anda bagaimana hendak memimpin tetapi kita ajar juga adab-adab resam dan adab-adab (hormati pelbagai budaya). Kita mempunyai adab kita, yang kita semua perlu pelajari.

“Jadi, sebab itulah kita di sini hari ini, kami semua pernah lalui usia anda. Sekarang kami dah tua, tetapi kami membimbing anda. (Sebab) Satu hari nanti, anda akan sampai ke usia kami dan anda perlu memimpin. Jadi anda perlu menjadi pemimpin yang dicontohi dan juga sebagai seorang ibu juga,” titah baginda.

Tunku Azizah bertitah demikian ketika berangkat mencemar duli sempena Sambutan Hari Peringatan Sedunia (WTD) Peringkat Kebangsaan 2025 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri dan Yang Dipertua PPPM Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng. Hampir 1,500 ahli PPPM daripada 16 kontinjen seluruh negara menghadiri sambutan tersebut yang bertemakan Our Story.

Tunku Azizah bertitah dengan nilai murni yang diterapkan dalam setiap ahli Pandu Puteri menerusi kepelbagaian program kepanduan yang diadakan, akan menjadi medan sebagai ikatan untuk mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan berbagai bangsa di bawah payung Malaysia.

“Pandu Puteri satu daripada persatuan dalam negara kita. Kita masyarakat berbilang kaum dan di Pandu Puteri juga kita berbilang kaum. Kita tidak kisah jika anda Cina, India, Melayu atau orang asli, kita semua bersatu sebagai satu.

“Tidak ada perbezaaan agama (dalam Pandu Puteri) dan kami juga tidak rasis. Jadi, itu semua penting untuk memajukan sebuah negara yang berbilang kaum,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tunku Azizah menzahirkan rasa syukur apabila Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang diberikan mandat untuk menjadi tuan rumah bagi sambutan WTD peringkat kebangsaan.

“Saya merasa amat berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran semua kontinjen ke negeri Pahang Darul Makmur,” titah baginda.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan