KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Saham Petronas Dagangan Bhd (PetDag) di Bursa Malaysia muncul sebagai kaunter paling untung dalam dagangan awal hari ini, meningkat 5.5 peratus selepas mencatatkan keputusan lebih kukuh pada tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024.
Pada pukul 10.38 pagi, saham PetDag meningkat RM1.04 kepada RM20.30 dengan 168,000 saham diniagakan.
Keuntungan bersih PetDag meningkat kepada RM1.09 bilion pada tahun kewangan 2024 berbanding RM943.08 juta pada tahun kewangann 2023 didorong oleh keuntungan kasar lebih tinggi merentasi semua segmen walaupun terdapat peningkatan dalam perbelanjaan, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Sementara itu, hasil meningkat kepada RM37.95 bilion pada tahun kewangan 2024 daripada RM37.55 bilion setahun sebelumnya, disokong oleh peningkatan 3.0 peratus dalam volum jualan walaupun penurunan 2.0 peratus dalam harga jualan purata.
PetDag telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham biasa dan dividen khas sebanyak 20 sen sesaham biasa bagi suku berakhir 31 Disember, 2024.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata selain daripada perubahan ketara dalam harga minyak, kami menjangkakan prestasi kumpulan itu akan kekal stabil pada suku akan datang.
"PetDag telah menunjukkan daya tahan dalam pasaran diesel selepas pemotongan subsidi, disokong oleh bahagian pasaran yang kukuh dalam segmen komersial dan sistem kad fleet," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengenai program subsidi bersasar untuk RON95, dijangka diperkenalkan pada separuh kedua 2025, HLIB berkata ia akan memberi impak minimum terhadap volum jualan dalam tempoh terdekat, kebanyakannya menjejaskan segmen golongan berpendapatan tinggi T15 yang boleh menyerap kenaikan harga.
“Tambahan pula, jumlah volum industri sektor automotif Malaysia bagi sektor automotif mencecah rekod tertinggi sebanyak 817,000 unit pada 2024 dengan kenderaan elektrik hanya menyumbang 5.6 peratus daripada jumlah jualan.
“Kami berpendapat permintaan untuk RON95 akan kekal disokong oleh penguasaan kenderaan enjin pembakaran dalaman di Malaysia, sekurang-kurangnya dalam jangka sederhana,” katanya.
Justeru, HLIB mengekalkan unjuran dan penarafan ‘beli’ ke atas PetDag, mengekalkan harga sasaran yang tidak berubah pada RM22.49.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial