SHAH ALAM, 20 Feb (Bernama) -- Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kadar jenayah indeks di Selangor termasuk daerah Klang mencatatkan penurunan kes sebanyak 12 peratus pada tahun lepas.
Beliau berkata statistik itu antara lain disumbang melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah yang dipertingkatkan termasuk penyelarasan rondaan unit bermotosikal dan kereta peronda mengikut waktu trend jenayah diramal berlaku.
“Langkah ini dilakukan secara sistematik mengikut pola kes dan menjadi faktor penurunan indeks jenayah terutama pecah rumah serta curi kenderaan di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Selangor di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Indeks Jenayah Numbeo 2025 oleh sebuah pangkalan data Internet yang menyatakan Kuala Lumpur dan Klang berada pada tempat ketiga dan keempat bandar paling berbahaya di Asia Tenggara.
Hussein berkata pihaknya tidak mengetahui kategori, kriteria dan responden digunakan dalam kajian itu untuk mentafsir kadar jenayah di Selangor, khususnya Klang.
Beliau berkata pihaknya boleh kemukakan laporan berkaitan penurunan kes jenayah di Selangor bagi menggambarkan kadar jenayah sebenar selain tidak berhasrat memanggil pihak Numbeo kerana tidak terikat dengan mereka yang mengeluarkan data itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial