KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Polis menafikan dakwaan berhubung seorang pekerja tapak pembinaan dipukul oleh kumpulan gengster di sebuah tapak pembinaan di Subang Jaya dekat sini, seperti yang tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing yang juga pekerja tapak pembinaan semalam mendakwa ditolak oleh seorang lelaki tempatan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku Jumaat lepas kira-kira 4 petang apabila lelaki warga asing itu bersama kira-kira 10 rakan sekerja menuntut tunggakan gaji yang belum dibayar selama tiga bulan.
“Semasa kejadian seorang lelaki warga tempatan telah meminta pengadu dan rakannya supaya tidak membuat kecoh di kawasan tapak pembinaan dan keluar dari tapak projek tersebut. Semasa perbincangan, telah berlaku tolak menolak di antara kedua dua pihak namun dileraikan oleh pekerja yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata kejadian itu tidak melibatkan sebarang serangan oleh kumpulan gengster seperti yang didakwa di media sosial dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan
Semalam tular di media sosial video memaparkan pertengkaran sekumpulan individu termasuk warga asing yang turut mendakwa mereka tidak dibayar gaji serta dipukul gengster.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial