WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JAKIM Sedia Bekerjasama Dengan Pempengaruh Untuk Memperkasa Penyampaian Maklumat Sahih

24/02/2025 07:26 PM

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedia bekerjasama dengan pempengaruh dan penyedia kandungan media sosial untuk menyampaikan maklumat sahih kepada masyarakat dan menjelaskan isu semasa yang tular.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata inisiatif itu secara tidak langsung juga dapat memastikan pempengaruh dan penyedia kandungan media sosial lebih berhati-hati ketika menerbitkan atau mengulas sebarang isu khususnya berkaitan perkara sensitif di platform digital.

"Antara pendekatan awal kita ialah membuat podcast (audio siar) berjudul JUM Podcast,  iaitu JAKIM Untuk Ummah dengan apa sahaja isu dirasakan sesuai untuk dibuat podcast akan dilaksanakan.

"Kita berhasrat memanggil rakan penyedia kandungan (pempengaruh) untuk bersama-sama dan kita boleh menjelaskan jika ada isu menjadi sebarang persoalan dalam kalangan mereka atau masyarakat," katanya selepas Majlis Tea And Talk bersama rakan media di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya amat mengalu-alukan sekiranya pempengaruh atau penyedia kandungan dapat berhubung dengan JAKIM sebelum mengulas sesuatu isu di platform media sosial.

"Antara perkara perlu diberi perhatian oleh penyedia kandungan ialah tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Kalau boleh, sebelum membuat kandungan, tanya JAKIM sepatah dua dan kita boleh memberi input sebenar supaya dia dapat menyampaikan perkara baik," katanya.

Sementara itu Sirajuddin berkata JAKIM sudah merencana 10 program khusus bagi mengimarahkan penghayatan sepanjang Ramadan ini.

"Perancangan ini akan dilaksanakan dengan rakan strategik di peringkat Persekutuan atau negeri, sama ada menerusi agensi kerajaan atau pihak swasta," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan