WILAYAH - TENGAH > BERITA

Kenaikan Harga Santan Kelapa: KPDN Buka Tiga Kertas Siasatan, Keluarkan 47 Notis

25/02/2025 06:34 PM

PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membuka tiga kertas siasatan serta mengeluarkan 47 notis ke atas peniaga kelapa dan santan kelapa yang didapati menaikkan harga.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Datuk Azman Adam berkata KPDN mengambil maklum berkaitan isu kenaikan harga kelapa biji, kelapa parut dan santan kelapa di Semenanjung, dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

“Setakat ini, 47 notis di bawah Seksyen 21 Akta 723 telah dikeluarkan ke atas peniaga kelapa dan santan kelapa yang didapati telah menaikkan harga. Tiga kertas siasatan telah dibuka ke atas peniaga yang disyaki melakukan kesalahan di bawah akta terbabit.

“Bahagian Penguat Kuasa juga telah mengeluarkan arahan hadir ke atas dua buah syarikat pengeluar santan, susulan pengumuman kenaikan harga oleh kedua-dua syarikat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan di atas isu kekurangan kelapa di pasaran, beliau berkata Bahagian Penguat Kuasa KPDN telah membuat pemeriksaan menyeluruh di pelbagai peringkat rantaian.

“KPDN akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga tersebut.

“KPDN juga ingin memberikan amaran keras kepada mana-mana pihak agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan,” katanya.

Azman berkata individu yang didapati melakukan kesalahan berkaitan pencatutan boleh diambil tindakan di bawah Akta 723. 

Beliau berkata KPDN telah menyusuli perkara ini dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain-pemain industri, bagi mengadakan perbincangan lanjut dalam menangani isu bekalan kelapa yang menyumbang kepada kenakan harga santan kelapa di pasaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan