KUALA TERENGGANU, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan menyemak semula Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata langkah itu bagi menambah baik beberapa aspek termasuk penguatkuasaan dan pematuhan terhadap syariat Islam.
Beliau berkata Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS) diberi tanggungjawab untuk menyelia semakan semula garis panduan berkenaan bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.
"Sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan penganjuran bengkel yang melibatkan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Mahkamah Syariah, agamawan dan ahli akademik.
"Kita perlu melakukan semakan semula bagi penambahbaikan supaya ia lebih tersusun dan syariat Islam lebih diperkasakan," katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata semakan berkenaan juga akan mengambil kira semua aspek termasuk kesesuaian dan keadaan masyarakat berbilang kaum serta budaya di Terengganu.
Muhammad Khalil berkata ia bagi mengelak naratif sesetengah pihak yang menganggap negeri itu sebagai sebuah ‘negeri Taliban’ dan ekstrem dalam pelaksanaan syariah.
"Pelaksanaan garis panduan bukan boleh dibuat secara semberono...ia mesti mengikut kesesuaian dan keadaan suasana di Malaysia yang memiliki kepelbagaian budaya dan agama. Terengganu adalah negeri yang mengamalkan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah," katanya.
Kerajaan negeri pada 2020 melancarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Terengganu bagi memastikan aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial