WILAYAH - SELATAN > BERITA

Pemukiman AEM Ke-31 Rancakkan Desaru, Lonjak Potensi Pelancongan Johor

25/02/2025 09:26 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

KOTA TINGGI, 25 Feb (Bernama) -- Bandar peranginan Desaru, yang terkenal dengan pantai bersih dan keindahan alam semula jadinya, kini semakin meriah dengan logo dan gegantung ASEAN sempena Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31.

Pemukiman itu adalah mesyuarat peringkat menteri kedua di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, selepas Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi pada Januari lepas, sekali gus menandakan permulaan tahun yang penuh signifikan bagi Malaysia dalam menerajui ASEAN.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) Mohammad Nazrul Abd Rahim berkata penganjuran pemukiman itu bukan sahaja menyemarakkan suasana Desaru, tetapi memberi limpahan manfaat kepada masyarakat setempat terutama dalam sektor pelancongan dan perniagaan.

"Tempahan bilik hotel meningkat, perniagaan semakin rancak dan perusahaan tempatan di sekitar Desaru menerima manfaat besar daripada kehadiran para delegasi. Ini melonjakkan lagi nama Desaru, yang selama ini dikenali sebagai ‘permata tersembunyi’ Johor," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pemukiman itu juga menjadi peluang terbaik untuk mempromosikan budaya dan kulinari unik di Pengerang, terutama hidangan istimewa seperti udang kara, belangkas dan siput gonggong yang menjadi tarikan dalam kalangan pelancong serta pencinta makanan laut.

Mohammad Nazrul optimis penganjuran mesyuarat peringkat ASEAN itu akan membuka lebih banyak peluang untuk Desaru dikenali sebagai destinasi pelancongan utama di Johor, setanding dengan lokasi percutian terkenal lain di Malaysia.

"Lazimnya, Pengerang lebih dikenali kerana industri minyak dan gasnya, tetapi menerusi acara antarabangsa seperti ini, kami berusaha menjenamakan Desaru sebagai destinasi pelancongan terbaik Johor dan Malaysia," katanya.

Beliau berkata pemukiman itu juga secara tidak langsung membantu mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026, yang menyasarkan kehadiran 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati suasana sekitar Desaru dihiasi dengan gegantung dan logo ASEAN, mencerminkan kehangatan sambutan kepada lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN serta Timor-Leste, yang kini berstatus negara pemerhati ASEAN.

Pemukiman AEM bermula dengan mesyuarat pegawai kanan Kementerian Ekonomi ASEAN dari 24 hingga 26 Feb, sebelum kemuncak acara iaitu sesi pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 28 Feb.

Sebelum itu, Mesyuarat Kumpulan Kerja-Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) ke-12 telah berlangsung pada 22 hingga 23 Feb.

Dalam pemukiman itu, para menteri dijangka membincangkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED), yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi serantau, meningkatkan keterangkuman, memperkasa kemampanan dan merangsang perdagangan digital di rantau ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan