WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Tahan Seorang Lagi Individu Terlibat Pergaduhan Di Pertandingan MMA

25/02/2025 06:45 PM

SHAH ALAM, 25 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang lagi individu dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkumpulan pada pertandingan seni bela diri campuran (MMA) di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek warga tempatan berusia 61 tahun itu, ditahan di sebuah restoran di Puchong, sekitar 10 malam semalam. 

“Semakan terhadap suspek mendapati dia mempunyai lapan rekod jenayah lampau. Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata tempoh reman dua suspek yang ditahan pada 23 Feb lepas yang disyaki terlibat dalam kes sama, disambung selama sehari.

Sebelum ini, Mohd Iqbal dilaporkan berkata pergaduhan melibatkan kira-kira 15 individu itu tercetus akibat pertengkaran yang berlaku antara dua peserta yang dibatalkan penyertaan kerana ketidakhadiran pihak lawan atas alasan sakit.

Beliau berkata polis sedang menyiasat dakwaan terdapat penglibatan kongsi gelap sehingga menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal dalam kejadian berkenaan.  

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan