WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPN, JPM Siasat Dan Ambil Tindakan Terhadap Individu Sebar Agama Lain Kepada Umat Islam

25/02/2025 07:07 PM

PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menyiasat serta mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti penyebaran agama lain kepada umat Islam di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini berkata Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) membantah aktiviti berkenaan kerana ia melanggar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan seumpama ini mampu mencetuskan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan, keharmonian dan perpaduan antara pelbagai komuniti di Malaysia.

“Malaysia terkenal dengan kepelbagaian budaya dan agama, malah amat menekankan pentingnya sikap saling menghormati serta hidup bersama dalam suasana aman damai,” katanya.

Kedua-dua menteri itu turut senada memaklumkan sebarang aktiviti yang menjejaskan ketenteraman awam serta kesejahteraan bersama harus dihentikan serta-merta, dan menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh kegiatan seumpama itu dengan melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak polis.

Aaron berkata KPN melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan meningkatkan aktiviti pemantauan oleh Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara terutamanya di Lembah Klang.

“Ini adalah bagi memperkukuh keselamatan dan keharmonian komuniti di seluruh negara, dan ia selari dengan tujuan utama penubuhan SRS iaitu membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di kawasan komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan sentiasa memainkan peranan dalam memberi nasihat dan bimbingan kepada umat Islam mengenai kepentingan menjaga akidah selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai hormat, ihsan dan kesejahteraan bersama.

Aaron dan Mohd Na’im menyeru semua pihak agar menjaga keharmonian dan menghormati nilai-nilai budaya serta agama yang telah lama menjadi asas kehidupan bersama rakyat negara ini.

“Kami berharap peristiwa seumpama ini tidak berulang dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kelangsungan perpaduan nasional,” katanya.

Baru-baru ini tular video mengenai dua warga asing yang berkunjung dari rumah ke rumah di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Maju untuk menyebar agama kepada umat Islam sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk di PPR berkenaan.

Susulan itu, JAKIM dalam kenyataan semalam menggesa pihak yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti itu agar segera membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan sebagai iktibar kepada semua pihak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan