WILAYAH - SELATAN > BERITA

ATC 2025: Nurul Izzah Izzati Pertahan Emas Keirin

25/02/2025 07:24 PM

NILAI, 25 Feb (Bernama) -- Pelumba basikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan status selaku juara bertahan sama sekali tidak tergugat, selepas berjaya mengungguli pingat emas acara keirin elit wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Velodrom Nasional di sini hari ini.

Pelumba berusia 22 tahun itu, mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menjadi pelumba pertama yang melintasi garisan penamat sekali gus mengulangi pencapaiannya di ATC edisi lepas di New Delhi, India.

Anak jati Kedah itu tenang memberikan saingan kompetitif mengatasi pencabar dari Korea Selatan Kim Haeun yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala gangsa acara itu menjadi milik pelumba China Guo Yufang.

“Kejayaan ini cukup bermakna bagi saya dan tidak sangka turut dapat menewaskan Mina Sato dari Jepun (juara dunia turut berada dalam perlumbaan akhir), kerana dia masih berada di kemuncak prestasi. 

“Namun, saya sudah buktikan bahawa saya juga mampu bersaing di peringkat tertinggi (menerusi keputusan hari ini),” katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan di sini.

Dalam pada itu, hasrat Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk menambah kutipan pingat emas buat kem basikal trek negara tidak kesampaian, selepas terpaksa akur meraih pingat perak acara keirin elit lelaki.

Muhammad Shah Firdaus yang masih bergelut dengan kecederaan lutut, dipintas di saat akhir pelumba Jepun Shinji Nakanao yang menjuarai acara itu, sementara rakan senegaranya Kaiya Ota di tempat ketiga.

“Ikutkan saya cukup berkeyakinan sejak daripada pusingan pertama hingga membawa ke aksi final, serta boleh bagi sesuatu (keputusan positif). Memang sedikit kecewa tetapi saya anggap ini ujian buat saya mungkin Allah sedang merancang sesuatu yang lebih besar untuk saya di masa hadapan.

“Saya tidak suka guna perkataan ‘sakit’ atau seumpamanya. Walaupun hanya seinci tayar memisahkan kemenangan, hakikatnya dia tetap pemenang,” kata Muhammad Shah Firdaus.

Seorang lagi wakil negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis pula mengakhiri saingan pada kedudukan kelapan dalam perlumbaan klasifikasi 7-12.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan