WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOT Minta Caam Tambah Baik Sistem Permohonan Penggunaan Dron - Loke

25/02/2025 10:28 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem permohonan penggunaan dron memandangkan penggunaannya yang semakin meluas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata langkah itu sangat penting bagi memastikan penggunaan dron dapat dikawal selia dengan baik demi keselamatan.

“Dalam masa sama, saya menyedari proses (permohonan) sekarang agak manual. Mereka (pengguna) perlu memohon dan proses permohonannya mengambil masa maksimum sehingga 14 hari. Ada maklum balas menyatakan bahawa ini tidak sesuai dan (tidak) praktikal.

“Saya sudah berbincang dengan CAAM tadi dan saya difahamkan memang sudah ada satu langkah ke arah satu sistem permohonan secara digital yang akan dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas hadir merasmikan platform eCLIPSE hari ini.

Beliau berkata apabila sistem itu siap, permohonan penggunaan dron boleh dilakukan secara digital melalui telefon pintar dengan menggunakan aplikasi yang membolehkan permohonan dibuat dan kelulusan diberikan hampir serta-merta.

Sementara itu, mengenai isu membabitkan 1,000 kenderaan yang masih tersadai di Pelabuhan Klang susulan kejadian kapal kargo terbakar, Loke berkata MOT sebagai pengantara dalam menyelesaikan isu itu akan berusaha membantu pihak-pihak terkesan.

“Sebenarnya mesyuarat telah diadakan di MOT semalam antara pegawai kementerian kami bersama pemilik kapal, syarikat insurans, firma guaman dan semua pihak berkepentingan yang terlibat. Kami cuba mencari penyelesaian.

“Keutamaan kami pada masa ini adalah untuk mendapatkan penyelesaian daripada pemilik kapal untuk melepaskan kargo dan kereta-kereta itu kerana apa yang mereka (pemilik kapal) minta (daripada) pemilik kereta adalah satu beban yang agak besar. Jadi kami cuba berunding untuk jumlah bayaran yang munasabah yang perlu dibayar oleh pemilik kargo untuk melepaskan kereta-kereta itu,” katanya.

Loke berkata kebanyakan kereta itu masih dalam keadaan baik dan kini berada di Pelabuhan Klang, namun pelepasan perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum dikeluarkan bagi mengelak sebarang isu perundangan pada masa hadapan.

“MOT bersedia membantu dalam menyelesaikan perkara itu, tetapi saya ingin menekankan bahawa kita memainkan peranan sebagai pengantara. Namun, kami komited untuk membantu memudahkan penyelesaian dan menangani isu ini,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan