BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pasaran Harta Tanah 2024 Rekod Prestasi Luar Biasa, Nilai Transaksi Cecah Rekod Tertinggi

26/02/2025 02:57 PM

KAJANG, 26 Feb (Bernama) -- Pasaran harta tanah pada 2024 merekodkan prestasi luar biasa dengan bilangan dan nilai transaksi harta tanah mencecah rekod tertinggi sepanjang tempoh sedekad, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata bilangan dan nilai transaksi meningkat pada 5.4 peratus dan 18.0 peratus kepada 420,545 jumlah transaksi bernilai RM232.30 bilion pada 2024 berbanding 399,008 bernilai RM196.80 bilion pada 2023.

“Pasaran primer juga memacu peningkatan yang tinggi sebanyak 34.1 peratus kepada 75,784 unit dengan prestasi jualan pada 37.3 peratus bagi 2024,” katanya semasa Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta Tahun 2024, di sini, hari ini. 

Selain itu, katanya, prestasi jualan harta tanah kediaman siap dibina yang tidak terjual atau ‘overhang’ mencatatkan perkembangan positif apabila turun kepada 23,149 unit dengan nilai RM13.94 bilion berbanding 25,816 unit bernilai RM17.68 bilion pada 2023.

Manakala, Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) mencatat pertumbuhan sederhana pada kadar 3.3 peratus dengan harga purata RM486,678 seunit. 

Laporan Pasaran Harta Tahun 2024 tersebut disediakan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC). 

Amir Hamzah berkata semua negeri mencatatkan pertumbuhan sederhana antara 0.6 peratus hingga 5.5 peratus dengan rumah berkembar mendahului merekodkan peningkatan 4.1 peratus, diikuti rumah teres 3.6 peratus, rumah sesebuah 2.6 peratus dan bangunan bertingkat tinggi 2.3 peratus.

“Selain didorong pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada kadar 5.1 peratus, pertumbuhan positif pasaran hartanah pada 2024 didasari oleh pelaksanaan pelbagai usaha dan inisiatif kerajaan untuk merancakkan ekonomi Malaysia serta merangsang perkembangan pasaran hartanah di seluruh negara di bawah kerangka Ekonomi MADANI,” katanya. 

Menurutnya, antara inisiatif yang menyokong pertumbuhan tersebut termasuklah pelonggaran syarat permohonan bagi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), pelaksanaan projek industri utama di wilayah utara, pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 serta penubuhan Zon Kewangan Khas di Forest City, Johor.

Selain itu, katanya,ekonomi negara yang diunjur berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini didorong oleh aktiviti transaksi yang mampan dan pertumbuhan sektor pembinaan dijangka mampu mengekalkan pertumbuhan kukuh pasaran harta tanah.

“Saya yakin, semua komitmen dan insentif yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dapat memberi manfaat kepada rakyat disamping membantu mendorong pasaran harta tanah mencapai prestasi yang lebih kukuh pada  2025,” katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah menyeru kepada semua pihak terlibat khususnya pemaju, perancang atau agensi yang meluluskan pembangunan untuk terus merujuk data yang disediakan melalui portal NAPIC yang interaktif.

“Menyedari betapa pentingnya maklumat yang diterbitkan oleh NAPIC kepada industri harta tanah, saya menggesa semua pembekal data untuk memberikan maklumat yang betul dan tepat kepada NAPIC,” katanya. 

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan