BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ICW, BuildXpo 2025 Sasar Capai Jualan RM700 Juta Tahun Ini

26/02/2025 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Selepas berjaya menjana jualan RM654 juta tahun lepas, Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) serta Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) 2025 menyasar untuk mencapai jualan sekurang-kurangnya RM700 juta tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Yusuf Abd Wahab berkata terdapat 175 pempamer dan 315 reruai pameran dari sembilan negara pada ICW tahun lepas.

“Tahun ini, kami menjangkakan sekitar 200 pempamer namun bilangan muktamadnya masih belum disahkan, tetapi kami menyasarkan peningkatan daripada angka tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran awal ICW yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Azman Ibrahim di Pusat Perdagangan dan Pameran Malaysia (MITEC) di sini.

Hadir sama pada majlis pelancaran awal itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Zainora Zainal.

Yusuf berkata tahun ini merupakan tempoh penting bagi ICW.

“Tahun ini menandakan satu pencapaian yang signifikan memandangkan ICW akan menjadi edisi ke-27, yang telah berperanan penting dalam transformasi industri dengan mengatasi cabaran utama serta menggalakkan inovasi, amalan terbaik, dan kemampanan di seluruh sektor.

“ICW dan BuildXpo akan berperanan sebagai platform utama untuk memajukan pembangunan serantau, integrasi ekonomi, dan pertumbuhan infrastruktur,” katanya.

BuildXpo 2025 akan mengetengahkan pelbagai produk, perkhidmatan, dan penyelesaian terkemuka dalam industri termasuk teknologi pembinaan terkini, jentera dan automasi termaju, sistem binaan industri (IBS), penyelesaian bangunan pintar, bahan pembinaan inovatif, dan alat digital.

Yusuf berkata antara ciri utama ICW & BuildXpo 2025 adalah Program Penyumberan Antarabangsa, dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Pembeli dari seluruh dunia dihubungkan menerusi inisiatif ini, memberikan peluang kepada pempamer untuk mengetengahkan tawaran masing-masing kepada pasaran antarabangsa, memudahkan pertumbuhan perniagaan global dan pengembangan pasaran.

“Lebih daripada sekadar menjadi pameran perdagangan, BuildXpo turut berperanan sebagai pemangkin untuk pertumbuhan industri, menjadi platform dinamik untuk rangkaian perniagaan, pendedahan jenama, dan kerjasama yang bermakna,” katanya.

Sementara itu, Azman mengumumkan ICW akan diperluas buat kali pertama dengan melibatkan ICW Borneo 2025, yang dijadualkan pada 13 dan 14 Mei ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak.

Edisi kali ini akan menumpukan kepada tema ‘Pembinaan Inovatif untuk Masa Depan Mampan’ dengan mengutamakan pembangunan pesat di Sarawak dan Sabah, dan seluruh Borneo.

“Ini akan merangkumi projek pembinaan mega yang memacu matlamat pembangunan mampan (SDG) untuk Malaysia dan ASEAN, dengan memfokuskan kepada projek infrastruktur utama dan penyelesaian tenaga boleh baharu untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi di Malaysia Timur.

“Edisi khusus ini akan berperanan penting dalam merangsang pembangunan serantau dan memperkukuh sektor pembinaan Malaysia di peringkat nasional dan ASEAN, membina industri yang berdaya tahan dan sedia masa depan,” katanya.

Zainora berkata BuildXpo 2025 menyasarkan 15,000 pengunjung termasuk profesional industri dan usahawan seperti kontraktor dan jurutera, dengan penyertaan dari negara seperti China, Thailand, Indonesia, Australia, Vietnam, dan banyak lagi.

ICW & BuildXpo 2025, dengan Kementerian Kerja Raya sebagai hos manakala CIDB Malaysia selaku penganjur, dan diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, akan menampilkan 350 reruai yang mempamerkan teknologi pembinaan, bahan, dan penyelesaian inovatif.

Acara bertemakan ‘Membina Masa Depan ASEAN’ itu  amat penting memandangkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

ICW & BuildXpo 2024 akan diadakan dari 22 hingga 24 Oktober ini di MITEC dan disokong oleh CIDB e-Construct, CIDB IBS, CIDB Tech, Construction Labour Exchange Centre Bhd (CLAB), Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) dan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan