WILAYAH - SELATAN > BERITA

Izzah Pecah Rekod Asia, Raih Emas Kedua Di ATC 2025

26/02/2025 07:44 PM

NILAI, 26 Feb (Bernama) -- Ratu berbasikal trek negara Nurul Izzah Mohd Asri membuktikan keunggulannya apabila memecahkan rekod Asia dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita, sekali gus meraih pingat emas keduanya padaa Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Velodrom Nasional di sini hari ini

Dalam perlumbaan final, Izzah mencatatkan masa 1 minit 6.229 saat (1:06.229s), memadam rekod Asia sebelum ini iaitu 1:07.137s, yang dilakukannya sendiri dalam aksi kelayakan pada sebelah pagi.

Pingat perak menjadi milik pelumba China, Luo Shuyan dengan catatan 1:07.365s, manakala wakil Korea Selatan, Hwang Hyeongso berpuas hati di tempat ketiga dengan masa 1:07.690s.

Anak jati Sungai Petani, Kedah, berusia 22 tahun itu  nyata gembira dengan pencapaiannya, lebih-lebih lagi kerana acara tersebut julung kali dipertandingkan di ATC.

"Saya sangat gembira bukan sahaja kerana meraih emas tetapi juga kerana berjaya memecahkan rekod Asia. Ini satu detik yang bermakna buat saya. Saya akan terus berusaha memperbaiki prestasi,”katanya kepada pemberita selepas menutup tirai kempen ATC di sini.

Emas yang diraih hari ini menjadikan koleksi keseluruhan Izzah di ATC 2025 sebanyak dua emas, satu perak dan satu gangsa, selepas turut cemerlang dalam acara keirin, pecut berpasukan dan pecut individu.

Bukan sekadar Izzah, skuad berbasikal trek remaja negara turut mencuri tumpuan apabila Intan Nur Irdrisha Abdul Razak meraih gangsa dalam acara perlumbaan penyingkiran.

Emas menjadi milik pelumba Taiwan, Wen Xin Huang, manakala Yuka Nishihara dari Jepun membawa pulang perak.

Skuad berbasikal trek para negara juga menunjukkan taring apabila menyapu bersih tiga pingat emas hari ini.

Mohd Khairul Hazwan Wahab dan jurumudinya Muhammad Khairul Adha Rasol menjuarai acara 1 km ujian masa kategori tandem B sementara Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin (C1) dan Ahmad Zharif Ahmad Nazri (C5) turut menghadiahkan emas buat Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan