WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Permohonan Perantis 2025 Dibuka Hari Ini Hingga 26 Mac, Sasar 100 Tokoh Wanita

27/02/2025 03:49 PM

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Permohonan Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) dibuka mulai hari ini hingga 26 Mac, dengan peruntukan sebanyak RM5 juta dan menyasarkan 100 tokoh wanita serta bakal memanfaatkan lebih 5,000 peserta bimbingan.

Menurut Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), permohonan lengkap bersama kertas cadangan pelaksanaan program boleh dibuat secara dalam talian di pautan https://iwanita.my. 

JPW memaklumkan peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2024 sebagai usaha memartabatkan wanita di persada dunia dan memperkasakan kepimpinan wanita melalui bimbingan tokoh wanita berjaya.

PERANTIS menyediakan geran kepada tokoh wanita untuk melatih dan membimbing lebih ramai kaum hawa, terutamanya golongan muda bagi mengasah bakat kepimpinan mereka. 

"Ia adalah langkah penting untuk melahirkan lebih ramai kumpulan bakat pemimpin wanita, terutamanya di peringkat pembuat keputusan. PERANTIS juga dijadikan platform bagi perkongsian ilmu dan kepakaran," menurut kenyataan itu.

Di samping itu, melalui program  berkenaan peserta akan dapat mengukuhkan jaringan kerjasama dalam kalangan pemimpin wanita daripada pelbagai sektor. 

Untuk rekod, pelaksanaan PERANTIS pada tahun lepas telah menarik penyertaan seramai 1,247 peserta dengan bimbingan 25 tokoh wanita. 

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, layari www.jpw.gov.my atau menghubungi urus setia PERANTIS di talian 03-83231616/1618/1620/1596 dan e-mel kepada perantis@jpw.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan