PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- Polis mengesahkan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Presint 11(1) yang dilanggar di hadapan sekolah pada 29 Feb lepas dijangka dibenarkan keluar hospital Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata murid itu telah dipindahkan ke wad biasa dua hari lepas selepas menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
“Murid itu kini menggunakan kerusi roda dan dijangka menjalani fisioterapi bagi kecederaan pada kakinya,” katanya kepada media ketika ditemui pada majlis perasmian Festival Ramadan Putrajaya 2025 (FRP25) di sini hari ini.
Aidi turut memaklumkan polis sedang menyiasat kejadian itu dari pelbagai sudut dan telah mengambil keterangan daripada dua saksi iaitu pemilik kamera papan pemuka yang merakam insiden berkenaan serta seorang orang awam yang berada di kawasan itu.
Beliau turut menyeru agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan lebih menyeluruh dalam memastikan aspek keselamatan terutamanya jalan raya di sekolah.
Selain itu, beliau berkata Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga akan menjalankan rondaan di beberapa kawasan sekolah pada waktu puncak.
Pada 20 Feb lepas, kanak-kanak berkenaan dilaporkan mengalami retak pada belakang kepala dan luka di tubuh badan selepas dilanggar sebuah kereta di hadapan sekolah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial