WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tindakan Segera Diperlukan Tangani Peningkatan Kes Kehilangan Kanak-kanak - Lee

27/02/2025 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Undang-undang lebih kukuh, penguatkuasaan lebih ketat dan usaha bersepadu diperlukan untuk menangani peningkatan kes kehilangan kanak-kanak, kata Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye. 

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata kehilangan seorang kanak-kanak bukan hanya tragedi peribadi, tetapi juga kebimbangan serius negara yang memerlukan campur tangan segera. 

"Setiap kanak-kanak yang hilang membawa potensi tragedi, bukan hanya kepada kanak-kanak itu, tetapi juga kepada keluarga mereka dan masyarakat secara menyeluruh. 

"Walaupun sesetengah kes melibatkan kes melarikan diri, terdapat juga kes yang mungkin mempunyai kaitan dengan penculikan, pemerdagangan, eksploitasi atau aktiviti jenayah. Menangani isu ini secara berkesan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan ibu bapa, pihak sekolah, penguatkuasaan undang-undang dan masyarakat," katanya. 

Lee turut menggariskan beberapa langkah segera bagi meningkatkan keselamatan kanak-kanak dan mencegah kes kehilangan golongan itu termasuk mencadangkan supaya data menyeluruh berkaitan kes kanak-kanak hilang dikumpulkan untuk menganalisis corak dan mengenal pasti faktor risiko utama kes terbabit. 

"Penyelidikan tentang punca utama kehilangan kanak-kanak, seperti masalah keluarga, penderaan atau eksploitasi perlu menjadi panduan kepada perubahan dasar," katanya. 

Lee berkata ibu bapa dan penjaga mesti berwaspada dalam memantau aktiviti anak-anak mereka, sama ada dalam talian atau luar talian.

Beliau berkata komunikasi terbuka antara ibu bapa dengan anak-anak adalah penting dan sekolah perlu menganjurkan program kesedaran untuk mendidik pelajar tentang keselamatan diri dan bahaya mengikut orang tidak dikenali. 

Masyarakat, katanya perlu digalakkan untuk melaporkan aktiviti mencurigakan atau individu yang mungkin mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak. 

Lee berkata kerjasama antara pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) dan media juga penting untuk mewujudkan kesedaran lebih baik dan menyebarkan maklumat kes kehilangan kanak-kanak dengan segera. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan