WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Bunuh Pelajar Kolej Vokasional: 13 Remaja Diarah Bela Diri

28/02/2025 12:16 PM

TAWAU, 28 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu untuk membela diri atas pertuduhan membunuh pelajar kolej sama, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan tahun lepas.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh di akhir kes pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Selepas meneliti dan menilai keterangan saksi sepanjang kes pendakwaan, mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh membela diri," katanya dan menetapkan 10 hingga 14 Mac ini untuk perbicaraan bagi tertuduh membela diri.

Seramai 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac 2024 hingga 7.38 pagi 22 Mac 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P.Kang serta Kusni Ambotuwo.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan