WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Syarikat Sabah Jalin Kerjasama Dengan Schlumberger Bagi Penyertaan Lebih Luas

28/02/2025 03:15 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 28 Feb (Bernama) --  Nawie Oilfield Services Sdn Bhd (NOS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Schlumberger Malaysia Sdn Bhd (SLB) untuk meningkatkan penyertaannya dalam industri minyak dan gas di Sabah.

MoU ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif NOS Masnahwi Nawe dan Pengarah Jualan dan Pemasaran SLB Aminuddin Said di Kota Kinabalu semalam, disaksikan oleh Pengarah Tas Oil and Gas Institute Datuk George Bandusena dan Pengarah Urusan SLB Asia Timur, Meng Keong Lee.

Kedua-dua syarikat itu akan bekerjasama untuk meneroka peluang dalam sektor itu, menyepadukan teknologi, perkhidmatan, dan kepakaran mereka untuk menyokong operasi minyak dan gas di Sabah.

Dalam kenyataan pada Jumaat, NOS menjelaskan SLB akan menyediakan sokongan teknikal dan teknologi, termasuk latihan untuk warga kerja NOS mengenai penggunaan peralatan dan perkhidmatan SLB, dengan tumpuan kepada aktiviti intervensi telaga di Sabah.

Intervensi telaga atau kerja-kerja telaga adalah aktiviti yang dijalankan ke atas telaga minyak atau gas sama ada semasa hayat pengeluaran aktif atau akhir, bertujuan mengubah suai keadaan atau struktur telaga, menawarkan penilaian diagnostik, atau mengawasi proses pengeluaran di telaga.

SLB juga akan memudahkan pemindahan pengetahuan dan program pembinaan kapasiti, dengan menekankan kecemerlangan operasi dan amalan mampan.

NOS akan memanfaatkan kepakaran tempatan untuk mengenal pasti projek yang mempunyai potensi, menguruskan pihak berkepentingan serta mengoptimumkan logistik, tenaga kerja, dan perkhidmatan sokongan lain untuk pelaksanaan projek.

Masnahwi, yang juga Pengerusi Biro Minyak dan Gas, Dewan Perniagaan Labuan, berkata NOS boleh mempercepat peluasan dan memberikan perkhidmatan telaga yang inovatif, berbaloi dari segi kos terutamanya dalam intervensi telaga dengan rangka kerja yang jelas.

NOS, syarikat dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dari Sabah, ialah vendor berdaftar Petronas yang pakar dalam perkhidmatan minyak dan gas huluan dan hiliran termasuk jualan peralatan, sewaan, dan sokongan intervensi telaga.

SLB ialah sebahagian daripada kumpulan perkhidmatan minyak dan gas serta tenaga, SLB.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan